Cadang Tol Gombak segera dihapuskan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman mencadangkan pihak kerajaan supaya menghapuskan segera Plaza Tol Gombak di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak bagi menyelesaikan masalah kesesakan yang sering berlaku pada musim perayaan dan hujung minggu.

- Advertisement -

Menurutnya, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak telah di buka pada tahun 1977 merupakan antara lebuh raya bertol terawal di Malaysia yang kini berusia hampir 50 tahun.

“Oleh itu saya mencadangkan Tol Gombak dihapuskan segera selaras dengan Menifesto PH. Selain itu tol ini sudah hampir 50 tahun usianya. Saya yakin, syarikat konsesi sudah mendapat keuntungan yang berlipat ganda.

“Di masa yang sama tol ini tidak lagi releven kerana ia bukan mengurangkan kesesakan malah ia merupakan punca kepada kesesakan.

“Seperti yang kita fahami, antara tujuan pembinaan lebuh raya ialah untuk mempercepatkan perjalanan, tapi jika tol menjadi punca kesesakan ia perlu di hapuskan segera,” katanya pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Perbekalan 2020 Kementerian Kerja Raya, di sidang Dewan Rakyat malam tadi.

Abdul Latiff Abdul Rahman

Jelasnya, lebuh raya tersebut merupakan pintu masuk utama pengguna daripada tiga buah negeri Pantai Timur (Kelantan,Terengganu dan Pahang).

Justeru, beliau menegaskan bahawa tidak mahu mendengar alasan daripada pihak kementerian bahawa kajian akan dijalankan atau sedang buat kajian.

“Saya tidak mahu mendengar jawapan YB Menteri bahawa kementerian akan buat kajian atau sedang buat kajian. Sampai bila nak buat kajian YB Menteri? Kerana setiap kali isu ini dibangkitkan, maka jawapan yang sama akan disebut. Sehingga bila dateline kajian ini YB?” ujarnya.

Berikutan itu, beliau meminta supaya kementerian dapat menyelesaikan perkara tersebut dengan segera.

Bagaimanapun, jawapan daripada Menteri Kerja Raya, Baru Bian mengatakan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk menghapuskan tol tersebut berikutan kos konsesi yang sangat tinggi.

Namun, katanya bagi mengurangkan kesesakan pihak konsesi telah membuka 12 lorong selain lorong tambahan akan dibuka sekiranya memerlukan. – HARAKAHDAILY 26/11/2019

- Advertisement -