Bersiap cabaran PRU15, rakyat tidak sabar tukar PH

- Advertisement -

IPOH: Cuaca politik ketika ini amat tidak menentu di mana tidak mustahil PRU boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun jangkaan asalnya akan berlaku pada tahun 2023, demikian peringatan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

- Advertisement -

Menurutnya, Kerajaan PH didominasi DAP merupakan pemerintah yang paling banyak masalah hingga memberi kesan kepada rakyat di mana kini para pengundi amat ternanti-nanti PRU15 untuk mengubah tampuk sedia ada.

Beliau mengutarakan perkara tersebut pada Majlis Makan Malam PAS Kawasan Tambun untuk mengumpul dana kemungkinan PRN Perak dan PRU15 di Dewan St John Ambulance, di sini baru-baru ini.

“Dalam masa memerintah selama setahun setengah, Kerajaan PH sudah menambah banyak hutang hingga ratusan bilion ringgit. Konflik ini sewajarnya ditangani segera bagi mengelakkan pelbagai musibah lain timbul

“Di PRK Tanjung Piai adalah kemenangan berstrategi kerana kita meletakkan calon MCA di tempat penduduk Melayu dan ternyata sokongan berpihak kepada Muafakat Nasional. Tidak lain tidak bukan, ini signal yang jelas rakyat tolak PH.

“Jadi tuan puan sekalian mesti bekerja dari sekarang, culaan mesti dah dijalankan untuk kita menang dalam PRU akan datang. Kami di Kelantan, selepas sahaja PRU, gerak kerja telah dimulakan sehari selepas itu untuk PRU akan datang,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan untuk bersiap siaga menghadapi serangan musuh yang pastinya mahu mematahkan kekuatan kerjasama Muafakat Nasional untuk dihancurkan penyatuan telah terbina.

Serunya, keyakinan rakyat juga perlu diperteguhkan untuk meyakini Muafakat Nasional sebagai ganti kepada PH dengan menampilkan kerjasama kukuh PAS dan Umno serta meningkatkan momentum gerak kerja.

Ahmad Fadhli yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa Pemuda mesti menjadi pihak terpenting sebagaimana generasi lalu mempertahankan Rasulullah dengan diri hingga dipuji Allah dalam ayat 23 surah al-Ahzab.

Pada majlis itu juga beliau melancarkan Hud Hud Runner yang menjadi alternatif penghantaran barangan dan makanan kepada orang awam diusahakan Dewan Pemuda PAS Tambun. – HARAKAHDAILY 26/11/2019

- Advertisement -