ATM siap sedia bantu mangsa banjir

    - Advertisement -

    KEMAMAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersedia untuk menggerakkan aset dan anggotanya bila-bila masa ke kawasan terjejas di seluruh daerah ini sekiranya banjir berlaku, demikian maklum Skuadron Sarjan Mejar (SSM) Mohd Khairani Ramli.

    - Advertisement -

    Beliau dari Rejimen Pertama Kor Armor DiRaja (KAD), Kem Batu 10, Kuantan bersama enam anggota telah diarah membuat tinjauan awal persiapan menghadapi bencana banjir di Daerah ini termasuk dalam DUN Kemasik.

    “Selain tujuan koordinasi, kami perlu mendapatkan beberapa maklumat supaya proses menyelamat atau menghulur bantuan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sampai kepada mangsa banjir.

    “Hasil lawatan pada petang ini, semua lokasi pangkalan hadapan, pusat perpindahan banjir dan kampung atau jalan yang mudah dinaiki air telah kami kenal pasti.

    “Kami di KAD mempunyai aset khas seperti lori tujuh tan yang mampu mengharung air banjir bagi kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa.

    “KAD juga memiliki dapur bergerak untuk digunakan mangsa banjir di pusat pemindahan,” jelas beliau di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ranggon, di Kertih, di sini petang semalam.

    Sekolah tersebut dijadikan Pusat Perpindahan Sementara (PPS) banjir pada tahun ini dan boleh menampung ramai mangsa sekiranya terjadi banjir.

    Menurut SSM Mohd Khairani lagi, jika bencana banjir besar berlaku, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik akan dijadikan pusat menyelamat atau markas taktikal.

    “Di situlah tempat tidur para tentera, tempat masakan makanan berskala besar, helikopter dan aset lain akan dikumpulkan,” kata beliau.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam suatu kenyataan mengeluarkan notis amaran cuaca waspada tahap kuning di Kelantan dan Terengganu berikutan angin Timur Laut yang dijangka bertiup kencang di beberapa kawasan pada Khamis dan Jumaat ini. – HARAKAHDAILY 26/11/2019

    - Advertisement -