T’ganu ada pelan jangka panjang untuk nelayan

- Advertisement -

“DR… ADA orang buat program bagi pukat kepada nelayan. Orang duduk tanya, mana Exco kita?”

Orang bagi silakan ambil. Tak ada masalah, itu rezeki. Tapi janganlah fikir bila ada orang lain bagi pukat, maka Exco pun kena tiru bagi pukat juga tahun ini.

Kita ada perancangan program yang jelas untuk masyarakat nelayan dalam Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023. Fokus utama bagi tahun 2018 dan 2019 ialah:

1.     Program memperkayakan sumber perikanan dengan melabuhkan tukun dan unjam. Kita dah selesai labuh tukun dan unjam bagi tahun 2018 dan 2019 dengan kos mencecah hampir jutaan ringgit di Perairan Kuala Besut, Benting Lintang, Rhu 10, Pulau Bidong, Kuala Nerus, Marang dan Paka. Tinggal satu lagi program labuh unjam yang kita nak sempurnakan tahun ini di Perairan Pulau Redang.

2.     Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN). Bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menyiapkan kerja tapak PSN dengan kos RM10 juta di Benting Lintang Besut, Seberang Penarik Setiu dan Pulau Skepeng Kemaman. Kerja-kerja pembinaan akan bermula pada tahun 2020 dengan kos RM13 juta lagi.

3.     Menyelesaikan secara berperingkat masalah muara cetek yang mendatangkan masalah kepada pergerakan bot nelayan keluar masuk. Antara muara yang sedang digali tahun ini ialah Muara Dungun dan Merang. Muara-muara lain sedang menyusul insyaAllah.

4.     Membincangkan secara serius bersama Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu pencerobohan nelayan asing. Kita tekankan supaya agensi penguatkuasaan di laut seperti APMM, TLDM, Perikanan, Polis Marin dan Jabatan Laut disatukan di bawah satu pengarahan. Alhamdulillah, dengan pelaksanaan Ops Naga maka mula nampak keberkesanan operasi membanteras nelayan asing ini.

5.     Membina bilik sejuk (cold room) dan tempat baiki  bot (slip way) bagi Nelayan Marang. Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan dan dijangka siap pada awal tahun 2020.

6.     Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) yang turut dimanfaatkan oleh masyarakat nelayan dalam bentuk pinjaman mudah tanpa faedah untuk membeli enjin bot dan pelbagai kelengkapan kelaut.

7.      Menangani pelbagai isu kebajikan nelayan yang terlibat dalam kemalangan di laut dan sebagainya.

8.     Bersama LKIM, Nekmat dan PNK, kita tangani isu kekurangan bekalan air batu di pelabuhan dan jeti-jeti perikanan Negeri Terengganu.

9.     Untuk nelayan darat, kita telah buat beberapa siri program melepaskan benih udang dan ikan di perairan sungai serta tasik. Jumlah anak benih yang dilepaskan mencecah jutaan ekor bilangannya bagi memperkayakan sumber perikanan darat.

Dalam Bajet 2019 memang kita tak masukkan peruntukan untuk bantuan pembelian pukat dan peralatan lain kerana kita ada fokus yang perlu diselesaikan. Tetapi peruntukan ini kita sudah mohon untuk dimasukkan dalam Bajet 2020 sebagai satu lagi tambahan program cakna kita kepada nelayan.

DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani
dan Pembangunan Desa Terengganu – HARAKAHDAILY 25/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -