S’wak perlu ‘scholarly teacher’, Timbalan Menteri jangan pekak

- Advertisement -

KENYATAAN Gabungan intelektual Pendidikan Guru SeMalaysia (GENIUS) yang mencadangkan agar hasrat mewujudkan pengajian peringkat sarjana, kedoktoran di IPG wajar dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan. Jika guru hanya berkelayakan Sarjana Muda di peringkat sekolah sedangkan di luar sana sudah ramai yang memiliki ijazah kedoktoran. Sudah pasti cabaran mendidik anak bangsa di peringkat sekolah ini juga memerlukan guru yang kompeten termasuk memiliki latar belakang penyelidikan bidang mereka masing-masing. Statistik menunjukkan pada 2017, seramai 22,342 pemegang PhD warganegara dari Institut Pengajian Tinggi telah berjaya dilahirkan.

GENIUS dilapor menyatakan hasrat mereka setelah ada percanggahan antara Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan.  Sebelum ini Dr Maszlee dilaporkan memberi cadangan terhadap penawaran program ijazah sarjana di IPG KPM mulai tahun depan, malah kertas cadangan mewujudkan ‘scholarly teachers’ juga sudah disediakan namun dinafikan oleh Timbalannya, Teo Nie Ching. Percanggahan antara Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan dari DAP itu bukan perkara yang baru.

Kegusaran juga wujud kepada guru yang mengajar di Sarawak. Ini termasuk sekolah-sekolah swasta di Sarawak. Kementerian juga perlu melihat keperluan ini di Sarawak, di mana bagi guru yang ingin menyambung pelajaran mereka ke peringkat pasca siswazah agak sukar kerana faktor jarak di mana kebanyakan Istitusi Pengajian Tinggi (IPT) berada di bahagian Kuching dan sedikit IPT Swasta. Jarak dan kos ini memerlukan pertimbangan yang sewajarnya dengan membuka krusus pasca siswazah di empat Institusi Pendidikan Guru (IPG) yang sedia ada di Sarawak. Ini juga menyebabkan mereka yang mempunyai niat untuk menyambung secara sambilan ke peringkat tersebut cenderung ke Semenanjung di mana kos penerbangan hampir sama dengan kos perjalanan di Sarawak. Keadaan ini mungkin tidak disedari oleh Teo yang mungkin pekak kerana tidak menyedari masalah pendidikan di Sarawak.

Sepatutnya kewujudan Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sarawak boleh dipertimbangkan agar tawaran kursus berkaitan diwujudkan di sini. Pelaksanaan kursus tersebut di Sarawak akan merealisasikan ‘scholarly teacher’ yang meluas kepada guru termasuk di Sarawak. Sudah pasti jika guru di Sarawak ketinggalan dari sudut pendidikan lanjutan ini akan mewujudkan jurang di masa hadapan antara polisi baru, kurikulum dan kompetensi para guru di Sarawak.

MUKHTAR SUHAILI
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 25/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -