Pilihan Raya Brexit tentukan nasib EPL

- Advertisement -

PENGUNDI United Kingdom ( UK ) akan mengundi dalam satu Pilihan Raya Umum 12 Disember ini. Pilihan raya kali ini diadakan kerana kerajaan parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri Boris Johnson gagal mendapat persetujuan Parlimen tentang syarat-syarat negara itu meninggalkan Kesatuan Eropah atau European Union ( EU ) iaitu sebuah blok ekonomi yang dianggotai oleh 28 negara.

- Advertisement -

Di dalam satu referendum ( pungutan suara ) pada 23 Jun 2016, 51.9 peratus pengundi UK telah memilih untuk meninggalkan EU atau Brexit.

Parti-parti politik utama UK memiliki polisi yang berbeza-beza terhadap Brexit. Parti Konservatif bertegas mahu UK meninggalkan EU

Parti Buruh ( Labour ) pimpinan Jeremy Corbyn pula dilihat berkecuali dan mahu referendum kedua untuk memberi peluang kepada rakyat membuat keputusan sekali lagi.

Sementara parti-parti kecil Liberal Democrat ( Lib Dem ), Scottish National Party ( SNP ), Green dan Plaed ( parti nasionalis dari Wales ) mahu UK terus kekal di dalam EU atau “remain”.

Oleh kerana Brexit ini memberi kesan kepada perjalanan keluar masuk ke UK dari EU dan kebenaran warga EU untuk bekerja di dalam UK maka sudah tentu ia akan memberi kesan kepada Liga Perdana Inggeris atau EPL.

Buat masa ini warga EU bebas keluar masuk ke UK dan bebas bekerja di dalam UK. Begitu juga pemain-pemain bolasepak dari EU walaupun ada syarat-syarat tertentu. Tetapi keadaan akan berubah jika Brexit menjadi kenyataan.

Dengan Brexit pemain-pemain dari EU akan dikenakan syarat-syarat visa dan permit kerja yang sama seperti pemain-pemain dari luar EU. Kelab-kelab tidak akan bebas lagi mendapatkan pemain-pemain EU.

Kelab-kelab EPL bimbang dengan Brexit tetapi Persatuan Bolesepak England ( FA ) menganggap ia satu peluang untuk meningkatkan penglibatan pemain tempatan. Ketika EPL ditubuhkan pada musim 1992-93, secara purata pelawanan-perlawanan dimulakan dengan 70 peratus pemain tempatan tetapi pada musim 2017-18 ia turun kepada 33 peratus sahaja.

Tahun lepas FA diberitakan mahu mengurangkan bilangan pemain-pemain luar dalam skuad pertama kelab-kelab EPL dari 17 kepada 12.

Pihak EPL bimbang sebarang sekatan dan kuota akan mengenakan sekatan dan kuota yang akan mengurangkan tarikan liga dan juga pendapatan mereka. Pada musim 2017-18 liga tersebut menjana 4.8 bilion pound iaitu lebih tinggi dari pendapatan negara-negara seperti Timur Leste dan Gambia. 8 kelab EPL adalah di antara 20 kelab yang bolasepak terkaya di dunia.

Nasib EPL bergantung kepada parti yang akan membentuk kerajaan. Menurut kajian terkini akhbar Guardian ( 23 November ), Konservatif mendahului dengan 47 peratus, Labour kedua dengan 28 peratus dan Lib Dem ketiga dengan 12 peratus.

Di mana-mana negara sekalipun politik menjangkau semua aspek kehidupan termasuk di negara kita. Mungkin ada yang tidak mahu ambil peduli tentang politik kerana hanya meminati perkara-perkara lain seperti sukan. Walau bagaimanapun sukan yang mereka minati adalah juga tertakluk kepada suasana politik.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 25/11/2019

- Advertisement -