Pelbagai acara Sambutan PAS Ke-68 di Perak

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Sambutan Ulang Tahun PAS Kali Ke-68 Peringkat Negeri Perak turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna melibatkan pelbagai kategori termasuk warga emas yang diadakan semalam.

- Advertisement -

Seramai lebih 50 kanak-kanak menyertai pertandingan mewarna ini dan kelihatan para Muslimat berumur 50 tahun ke atas turut teruja apabila diberi ruang menyertainya oleh pihak penganjur.

Turut berjalan serentak ialah pertandingan gubahan tuala dan masakan berasaskan pulut kuning dan rendang ayam bertempat di padang bersebelahan Dewan PASTI Pra-Tahfiz Jabal Nur, di sini.

Juga berlangsung Ameerah Talk yang menampilkan Pengarah Ameerah Perak, Aslina Khalid dan Exco Penerangan Ameerah Perak, Nurfarhana Omar sebagai ahli panel.

Dimoderatorkan oleh Timbalan Pengarah Ameerah Perak, Nuradila Kamal, Ameerah Talk ini telah membicarakan tajuk ‘Bidadari Syurga Pedoman daripada Al-Quran’.

Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah bagi setiap acara yang dipertandingkan setelah tamatnya pentas Ameerah Talk.

Turut hadir pada petang itu ialah Timbalan Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, Ustazah Rohaya Abu Bakar dan saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Kawasan Bagan Serai.

Sementara di perkarangan Bangunan PASTI Pra-Tahfiz Jabal Nur telah dibuka kaunter ‘Jom Masuk PAS’, sudut pameran Sejarah PAS, pameran motosikal berkuasa tinggi serta rawatan akupuntur dan bekam.

Turut kelihatan sepanjang kiri dan kanan jalan terdapat pelbagai gerai jualan yang menjual aneka makanan, pakaian, dan produk kesihatan. – HARAKAHDAILY 25/11/2019

- Advertisement -