Falsafah dan epistemologi

- Advertisement -

KEMUNCULAN awal

(1)     Falsafah mempunyai catatan yang panjang dari segi sejarahnya. Bermula secara tersusun di era Thales Of Miletus (624-548SM) sedikit sebanyak mencorakkan perbezaan peradaban lalu.

Thales dikatakan seorang yang bermusafir mengembara ilmu. Pernah memasuki Mesir dan mempelajari asas-asas matematik dan fizik di sana. Kemudian dikembangkan.

(2)     Yang sezaman dengan beliau mengembangkan falsafah di zaman awal ialah;

a-     Pittacus Of Mytilene (640-548SM),

b-     Bias Of Priene

c-     Solon Of Athens (638-558SM)

d-     Chilon Of Sparta (555 SM)

e-     Periander Of Corinth (634-585SM)

f-     Myson of Chenae

g-     Anacharsis the Scythian

(3)     Ahli Falsafah Yunani membahagikan perbahasan falsafah kepada empat, iaitu Epistemologi, Aksiologi, Ontologi, Logik.

a-     Epistemologi ialah ilmu, yang akan dibincangkan selepas ini. Dalam takrifan, ia diterjemahkan sebagai معرفة. Apa itu ilmu atau bagaimana memperolehi ilmu.

b-     Aksiologi ialah nilai. Iaitu membincangkan tentang etika dan estatika. Etika (ethos) membincangkan tentang moral, dan tingkah laku.

c-     Ontologi ialah metafizik. Membincangkan tentang sifat, asal-usul, kewujudan, kejadian, apa itu alam, apa itu tuhan, apa itu pemikiran dan sebagainya.

d-     Logik ialah menerangkan hubungkait antara idea-idea. Sama ada Logik Induktif (khusus kepada umum) atau Logik Deduktif (umum kepada contoh yang relevan).

Epistemologi

(1)     7 dari kalangan ahli falsafah yang disebutkan tadi (termasuk Thales) dikenali sebagai Seven Sages, yang dikatakan sebagai tokoh terawal falsafah.

Hidup di Eropah, dan mereka mengiktiraf ketokohan هرميس الحكيم Hermitis Tris. Siapakah Herminitis Tris? Sebahagian sejarawan mengatakan beliau adalah Nabi Idris A.S. WaLlahuaklam.

Ada yang mengatakan Herminitis Tris ini adalah tiga individu. Dua orang duduk di Mesir, dan seorang lagi di Babylon. Sejarah ini masih lagi dikaji dan tak perlu diperdebatkan pun.

(2)     Cuma, apa yang ingin disampaikan ialah cetusan awal falsafah (epistemologi) itu pastinya bermula daripada Allah S.W.T yang mengajarkan Nabi Adam A.S mengenali semua benda;

- Advertisement -



وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَاۤءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِی بِأَسۡمَاۤءِ هَـٰۤؤُلَاۤءِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِینَ

“Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.”

(al-Baqarah: 31)



a-     Ibnu Kathir menukilkan di dalam tafsirnya bagi ayat ini, bahawa nama-nama yang diajarkan kepada Nabi Adam A.S itu ialah nama binatang melata, burung, bintang, manusia, tanah dan sebagainya.

b-     Dari sini kita boleh faham bahawa di sinilah bermulanya falsafah, bahasa dan sebagainya. Ringkasnya, Allah S.W.T mengajar Nabi Adam A.S satu ilmu yang mengkagumkan para Malaikat.

Ilmu Nabi Adam A.S

(1)     Allah S.W.T berfirman;



قَالُوا۟ سُبۡحَـٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَاۤ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِیمُ ٱلۡحَكِیمُ

“Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana””

(al-Baqarah: 32)



Bahkan Allah S.W.T menyuruh pula Nabi Adam A.S mengajar Malaikat ilmu tersebut;



قَالَ یَـٰۤـَٔادَمُ أَنۢبِئۡهُم بِأَسۡمَاۤىِٕهِمۡۖ فَلَمَّاۤ أَنۢبَأَهُم بِأَسۡمَاۤىِٕهِمۡ قَالَ أَلَمۡ أَقُل لَّكُمۡ إِنِّیۤ أَعۡلَمُ غَیۡبَ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَأَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا كُنتُمۡ تَكۡتُمُونَ

“Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.”

(al-Baqarah: 33)



2.     Syed Qutb di dalam Fi Zhilal al Quran menghuraikan dialog ini dengan mengatakan ilmu yang diberikan kepada Nabi Adam A.S, yang dikagumi oleh para Malaikat, ialah ilmu melambangkan sesuatu.

a-     Iaitu, sebelum ilmu ini diajar, menjadi satu kepayahan untuk berkomunikasi. Contohnya nak menyebut ‘pohon tamar’ tidak boleh tidak, mesti mempersembahkan pohon tamar itu supaya difahami.

b-     Contoh yang lain, apabila nak menyebut ‘bukit’ sudah pasti perlu pergi ke bukit dan melihat depan mata. Kepayahan ini diselesaikan oleh Allah S.W.T melalui ilmu melambangkan sesuatu.

Ilmu sebagai khalifah

(1)     Di akhir ayat 33, Allah S.W.T berfirman;



….قَالَ أَلَمۡ أَقُل لَّكُمۡ إِنِّیۤ أَعۡلَمُ غَیۡبَ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَأَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا كُنتُمۡ تَكۡتُمُونَ

“…. Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.”



Imam Qurtubi menukilkan tafsiran al Mawardi bahawa Allah S.W.T menunjukkan kuasaNya itu dengan mengaitkan peristiwa sebelum penciptaan khalifah di muka bumi;



وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ إِنِّی جَاعِلࣱ فِی ٱلۡأَرۡضِ خَلِیفَةࣰۖ قَالُوۤا۟ أَتَجۡعَلُ فِیهَا مَن یُفۡسِدُ فِیهَا وَیَسۡفِكُ ٱلدِّمَاۤءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّیۤ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.”

(al-Baqarah: 30)



Ilmu inilah yang menjadi poin kepada khalifah. Manusia diberikan mandat menjadi khalifah di muka bumi kerana diberikan oleh Allah ilmu melambangkan sesuatu, atau ilmu komunikasi.

(2)     Apabila diteliti, Nabi Sulaiman A.S menguasai dunia dengan ilmu komunikasi. Mukjizatnya ialah mampu berbahasa dengan semua makhluk. Justeru, ilmu yang diberikan ini menjadi satu kekuasaan;



وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا ۖ وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman””

(An-Naml: 15)

وَوَرِثَ سُلَيْمَانُ دَاوُودَ ۖ وَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ عُلِّمْنَا مَنطِقَ الطَّيْرِ وَأُوتِينَا مِن كُلِّ شَيْءٍ ۖ إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْفَضْلُ الْمُبِينُ

“Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: “Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata””

(An-Naml: 16)



Ilmu komunikasi

(1)     Berdasarkan ayat 15 dan 16 daripada Surah An Naml menguatkan lagi kisah Nabi Adam A.S bahawa ilmu itu menjadi asas kepada pembentukan khilafah.

a-     Nabi Adam A.S diberikan ilmu melambangkan sesuatu (komunikasi) dan Nabi Sulaiman A.S diberikan ilmu komunikasi dengan semua makhluk. Manakala Nabi Daud A.S (ayah Nabi Sulaiman) diberikan ilmu melembutkan besi.

b-     Seakan-akan menjadi klu kepada pembentukan khilafah. Hal ini disedari oleh Barat, lalu mereka hari ini menguasai telekomunikasi dan persenjataan yang berasaskan besi.

(2)      Era globalisasi sejak pertengahan 90-an menyaksikan bagaimana Barat menggunakan komunikasi untuk menguasai dunia dengan permainan maya.

a-     Menimbulkan propaganda dengan maya, dan menyerang negara-negara dengan menggunakan senjata. Kemunculan mereka ini apabila mereka mencedok ilmu-ilmu ini dari gedung Islam.

b-     Manakala Islam menerimanya dari Allah S.W.T dan ditambah dengan kajian-kajian ahli falsafah Yunani yang menjadikan Nabi Idris A.S sebagai sumber inspirasi. Hakikatnya semua dari Allah S.W.T.

(3)     Kenapakah Umat Islam hari ini tidak memimpin dunia? Kerana meninggalkan wahyu Allah S.W.T, malas membaca peradaban lalu, bahkan malas mengkaji sejarah para Nabi sendiri.

Ahli falsafah terdahulu dikenali sebagai pencinta kebijaksanaan (محب الحكمة). Dengan adanya ilmu, akan melahirkan kebijaksanaan. Antara bentuk kebodohan adalah taksub.

Ada ilmu tapi tak cerdik

(1)     Kalau ada ilmu tapi semakin tidak cerdik, sudah pasti ilmu yang ada itu bukan ilmu yang sepatutnya. Seseorang yang dikatakan menggali ilmu-ilmu, tetapi semakin hari semakin tak cerdik. Pasti ada something wrong.

a-     Fudhail bin Iadh (105-187H) berkata;



العلماء كثير والحكماء قليل، وإنما يراد من العلم الحكمة، فمن أوتي الحكمة فقد أوتي خيرا كثيرا

‘Ulamak itu ramai, tetapi orang bijaksana itu sedikit. Apa yang diinginkan daripada ilmu itu ialah kebijaksanaan. Maka sesiapa yang diberikan kebijaksanaan, sesungguhnya dia telah diberikan dengan kebaikan yang banyak’.



b-     Kata-kata beliau ini berdasarkan firman Allah S.W.T;



یُؤۡتِی ٱلۡحِكۡمَةَ مَن یَشَاۤءُۚ وَمَن یُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِیَ خَیۡرࣰا كَثِیرࣰاۗ وَمَا یَذَّكَّرُ إِلَّاۤ أُو۟لُوا۟ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

“Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”

(al-Baqarah: 269)



(2)     Imam Qurtubi menukilkan tafsiran Mujahid (Tabiin) menyatakan kebijaksaan (الحكمة) itu ialah:



الإصابة في القول والفعل

“Ketepatan dalam kata-kata dan tindakan.



(3)     Ramai orang yang menyuruh supaya menuntut ilmu. Tetapi tidak diberitahu ilmu apa yang perlu dipelajari. Ilmu apakah yang perlu dipelajari, itu soalnya.

Sebab itulah kalau semata-mata menggunakan literal ‘ilmu’ kita akan dapati orang gereja di zaman kegelapan (4-14M) adalah orang yang berilmu.

Tetapi, mengapa mereka ditentang oleh para filosof di zaman mereka? Mengapa wujudnya pertembungan antara geng filosof (bijaksana) dengan orang gereja (ilmu)?

Agama vs falsafah?

(1)     Apa yang terjadi di zaman kegelapan, kita saksikan di sana wujudnya pertembungan antara orang gereja yang dikenali sebagai رجال الدين (agamawan) dan juga ahli falsafah (محب الحكمة) ?

Pertembungan ini menjadi perbahasan yang hangat dalam dunia falsafah. Setelah kajian yang panjang oleh para cendekiawan, mendapati bahawa sepatutnya agama itu tidak bertembung dengan falsafah.
.
(2)     Akan tetapi pertembungan itu terjadi disebabkan dua kemungkinan;

a-     Sama ada agama yang menjadi sumber ilmu itu dibawa secara tidak betul

b-     Atau falsafah yang diperkenalkan itu tidak betul

Hal ini kita boleh saksikan beberapa tahun sebelum kemunculan Nabi Isa A.S di Palestin. Palestin ketika itu di bawah jajahan takluk Rom, yang subur dengan falsafah.

(3)     Kelahiran Nabi Isa A.S telah mewujudkan pertembungan yang besar, apabila kelahirannya itu bercanggah dengan dunia falsafah ketika itu.

a-     Falsafah ketika itu tersesat dengan mengatakan alam ini tercipta secara semula jadi. Kelahiran manusia juga hasil kesemulajadian alam. Tidak wujud pencipta.

b-     Lalu Allah S.W.T bangkitkan Nabi Isa A.S yang bercanggah dengan kesemulajadian alam. Menyebabkan Falsafah Barat ketika itu menjadi bingung.

c-     Ya, kita boleh katakan bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Isa A.S itu betul, manakala falsafah yang dipegang itu tersesat. Jauh bezanya dengan falsafah yang dibawa oleh Socrates dan seangkatan dengannya.

Apabila agama diseleweng

(1)     Zaman kegelepan bermula sejak perhimpunan paderi sedunia di dalam persidangan Synodes di Nicia pada 325 Masihi dan kemudiannya di Konstantinopel pada 381 Masehi.

a-     Iaitu bermula projek penulisan semula kitab Injil (penyelewengan). Era kegelapan ini berterusan sehinggalah kurun ke-14 apabila para pengkaji Barat mula mengkaji ilmu-ilmu falsafah dari Timur yang berpusat di Baghdad.

b-      Ilmu-ilmu ini dibawa balik ke Eropah yang sedang ‘kegelapan’ ketika itu dan secara tak langsung mewujudkan pertembungan yang hebat. Pertembungan antara agama yang telah diseleweng, dan falsafah yang benar.

c-     Sengketa ini menyaksikan kekalahan pihak gereja yang menyeleweng agama asal Nabi Isa A.S dan akhirnya pemerintahan ini dibakul sampahkan oleh para cendekiawan yang dikenali sebagai ahli falsafah.

(2)     Sebab itulah para Ulamak Islam yang mengkaji hal ini telah menyimpulkan bahawa agama yang betul, tidak akan bertembung dengan falsafah yang betul.

Kalau hari ini kita saksikan pertembungan Islam vs Kapitalis, ya kita boleh nampak pihak mana yang tak betul. Tetapi kalau kita saksikan pertembungan agamawan Islam yang cerdik, dan agamawan yang berilmu, siapakah di pihak yang benar?

Kembali kepada al-Quran dan Sunnah, yang menjadi sumber original Islam. Berhujah dengan dalil, bukan berhujah dengan kata-kata gurunya.

(2)     Orang yang hanya pandai berhujah dengan kalam guru masih lagi dimensi taqlid. Bahkan Islam mewajibkan Umatnya keluar daripada taqlid dalam bab aqidah.

Manakala dalam bab Feqah, wajib bertaqlid dengan Imam Mazhab selagi mana diri sendiri belum sampai tahap mujtahid. Hari ini sudah terbalik, dalam bab aqidah bertaqlid, dalam bab Feqah bajet Mujtahid.

Bersilat dengan perselisihan

(1)     Sebab itulah orang Islam sepatutnya memahami ‘ilmu apakah yang perlu dipelajari’ sebelum pergi menuntut ilmu. Bimbang mereka itu pergi menuntut ilmu dalam keadaan mata yang tertutup.

Bimbang Umat Islam akan rugi, disebabkan ramai agamawan yang menuntut ilmu, tetapi ilmu yang dituntut itu bukanlah ilmu yang perlu dituntut. Menyebabkan unsur kebijaksanaan itu hilang.

(2)     Dengan bahasa mudahnya, pergi menuntut ilmu, tetapi semakin tak cerdik. Sedangkan sepertimana kalam Fudhail bin Iyadh;



وإنما يراد من العلم الحكمة

“Apa yang diinginkan daripada ilmu itu ialah kebijaksanaan.”



Apa gunanya ilmu andai ilmu itu tidak mencerdikkan orang itu? Sebab itulah lebih perlu bagi seseorang itu, mengetahui ‘apa yang perlu dipelajari’.

(3)     Imam Hassan al Banna R.A menyatakan di dalam Usul 20;



وكل مسألة لا ينبني عليها عمل فالخوض فيها من التكلف الذي نهينا عنه شرعا، ومن ذلك كثرة التفريعات للأحكام التي لم تقع، والخوض في معاني الآيات القرآنية الكريمة التي لم يصل إليها العلم بعد، والكلام في المفاضلة بين الأصحاب رضوان الله عليهم وما شجر بينهم من خلاف، ولكل منهم فضل صحبته وجزاء نيته وفي التأول مندوحة.

“Membincangkan masalah yang tidak berjejak kepada kenyataan (tidak membuahkan amal) adalah tergolong dalam perkara yang memberat-beratkan sesuatu. Memberat-berat sesuatu masalah adalah dilarang oleh syariat. Sebagai contoh: membincang cabang-cabang hukum yang masih belum berlaku dengan membuat andaian-andaian, membincang penafsiran ayat-ayat al-Quran yang belum dicapai oleh ilmu manusia, membincangkan keistimewaan-keistimewaan di antara Sahabat Rasulullah (S.A.W) atau membincangkan perselisihan para Sahabat. Kerana para Sahabat mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai seorang Sahabat. Mereka diganjari menurut fiat mereka, tambahan pula masalah takwil adalah merupakan jalan keluar”

ومعرفة الله تبارك وتعالى وتوحيده وتنزيهه أسمى عقائد الإسلام، وآيات الصفات وأحاديثها الصحيحة وما يليق بذلك من التشابه، نؤمن بها كما جاءت من غير تأويل ولا تعطيل، ولا نتعرض لما جاء فيها من خلاف بين العلماء، ويسعنا ما وسع رسول الله صلى الله عليه وسلم وأصحابه (وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا) (آل عمران:7).

“Mengenal Allah, mentauhidkanNya dan membersihkanNya dari sesuatu
yang menyekutuiNya adalah akidah yang paling tinggi dalam Islam. Ayat
Quran dan hadith yang menyentuh sifat-sifat Allah hendaklah kita terima tanpa melakukan tafsiran dan takwilan. Kita jauhi perselisihan ulamak dalam masalah ini. Kita berpada dengan apa yang telah dipadakan oleh Rasulullah (SAW) dan para Sahabat. Firman Allah: “Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: Kami beriman dengannya (ayat-ayat mutasyabihat). Semuanya itu dari sisi Tuhan kami”. (Ali Imran 7)”



(4)     Apa yang disebutkan oleh Imam Hassan al-Banna dilihat menjadi realiti hari ini. Apabila ada golongan yang kalut nak mendalami isu perselisihan sedangkan perkara-perkara prinsip masih lagi goyang.

Mereka mengkaji perkara-perkara yang tidak ‘membuahkan amal’. Berteori dengan fantasi-fantasi yang tidak jejak alam realiti. Berhujah seperti sedang berada di zaman The Golden Age Of Islam, walhal hari ini Islam itu ditindas. – HARAKAHDAILY 25/11/2019

- Advertisement -