Di mana ‘ruang’ untuk dakwah pengguna media sosial?

- Advertisement -

AYER HITAM: Pendidikan menduduki kelompok teratas dalam senarai kandungan yang paling tinggi penembusan media sosial pengguna mudah alih di Malaysia, diikuti hiburan dan humor, berita, pengumuman, promosi dan politik.

- Advertisement -

Pembentangan tersebut dikemukakan Setiausaha Lajnah Penerangan dan Media Baru Muslimat PAS Malaysia, Normaziah Md Khori pada Jelajah Munaqasyah Ucaptama Ketua Muslimat PAS Malaysia (JELAS), kelmarin.

Berikutan itu, beliau yang juga seorang ahli teknologi maklumat mengesyorkan supaya Penerangan Muslimat setiap kawasan dapat menyiarkan lebih banyak artikel berkaitan pendidikan kerana isu itu mendapat tempat dalam masyarakat.

Berdasarkan data pengguna internet Malaysia juga terutama antara usia 15 hingga 65 tahun, beliau menyeru Muslimat melebarluaskan penerangan menerusi aplikasi Facebook, Instagram, Youtube, Twitter, WeChat, Skype, Line dan sebagainya.

Terangnya, setiap platform tersebut dikunjungi dan digemari oleh lapisan umur yang berbeza, contohnya Instagram dan Twitter menjadi pilihan remaja 18 hingga 25 tahun, sebaliknya golongan dewasa memilih Facebook dan lain-lain.

Terdahulu, Pengarah Strategik dan Pengurusan Risiko Muslimat PAS Malaysia, Wan Hasrina Wan Hassan mengingatkan Muslimat agar dapat mengoptimumkan peranan memastikan kefahaman masyarakat mengenai Islam dapat disampaikan.

Hadir sama ialah Timbalan dan Naib Ketua Muslimat PAS Johor, Normala Sudirman dan Sabariah Amin serta Ketua Penerangan Muslimat PAS Johor, Hafsah Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 24/11/2019

- Advertisement -