Tender terbuka: NAFAS akan tidak bernyawa

- Advertisement -

SAYA bersetuju dan akan mempertahankan tindakan kerajaan memberi projek membekal baja subsidi kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) secara ‘direct nego’. NAFAS adalah sebuah institusi milik peladang, petani dan pesawah. NAFAS memiliki kilang baja di Gurun, Kedah, usahasama antara NAFAS, Pertubuhan Peladang Negeri, Pertubuhan Peladang Kawasan, Ahli-ahli Peladang, dan Petronas Fertilizar Sdn Bhd. Factory & Production Plant kilang itu dikhususkan untuk menghasilkan baja dalam skim subsidi. Tidak selain daripada itu.

- Advertisement -

NAFAS memiliki pengalaman 22 tahun dalam industri berkaitan, dan NAFAS ditubuhkan untuk membantu 920,000 petani dan pesawah melalui Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) melalui pegangan saham dan agihan dividen. Direct nego telah berlangsung sejak dulu lagi selari dengan wujudnya NAFAS dan kilang baja itu.

Jika projek membekalkan baja subsidi tidak diperolehi oleh NAFAS, ia menjejaskan sepenuhnya operasi kilang, membawa kepada pemberhentian pekerja dan turut menjejaskan pendapatan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) yang terdiri daripada petani dan pesawah padi.

NAFAS memikul tanggung jawab dan fungsi yang melangkaui sebuah operasi perniagaan membuat dan membekal baja. Masalah yang timbul hari ini adalah kerana Kementerian Pertanian membuka tender untuk kerja-kerja membekalkan baja subsidi dan tender itu telah diproses. Sudah ada pembida yang terpilih.

Syarikat yang terpilih itu bukanlah NAFAS, tapi syarikat lain yang menawarkan harga yang lebih rendah. Bagaimana harga boleh lebih rendah daripada harga NAFAS yang memiliki kilang sendiri? Mungkin kerana syarikat itu tidak mempunyai 920,000 ribu orang petani miskin di belakangnya.

Ia tidak perlu membahagikan keuntungan perniagaannya dengan begitu ramai orang, tiada tanggungan CSR dan lain-lain kekangan. Jika pengukurnya hanya semata-mata bisnes dan fulus, maka syarikat Sendirian Berhad yang menawarkan harga lebih rendah itu patut dipilih.

Mereka boleh membeli baja lebih murah dari Vietnam untuk dibekalkan kepada PPK dan pesawah. Diandaikan mereka dapat untung RM200,000 , berkongsi 4 atau 5 orang pemegang saham syarikat sudah dapat RM40,000 seorang. Lumayan!

NAFAS tidak direkabentuk dan ‘ditala’ untuk berada dalam persekitaran bisnes seperti itu. Oleh kerana PH mengamalkan dasar tender terbuka, maka segala yang melibatkan projek kerajaan perlu melalui proses tender terbuka. Lalu periuk dan beras untuk menanak nasi di rumah pun ditender juga.

Selera makan dan keperluan alas perut anak-anak diserah kepada bisnes, boleh berjimat tetapi membantut tumbesaran, menghilangkan norma dan nilai kekeluargaan.

Bengap dan lembab kalau diadunkan dengan ego dan sombong, memang tiada ubatnya.

Bila menyedari bahawa ia bakal menjejaskan satu institusi milik peladang, petani dan pesawah, maka kerajaan terpaksa membuat U-turn seperti biasa.

U-turn inilah menyebabkan pelanggaran yang menjadi isu besar pada hari ini. Pemenang tender pun ‘melompat’ setinggi yang mereka mampu. Semua orang nampak adanya ‘skandal’ yang telah muncul antara dasar politik yang popular, strategi taikun kapitalis dan tanggung jawab kerajaan. Ini adalah serangan yang sengaja diundang.

Apakah NAFAS patut dilanyak kerana itu? Tidak! NAFAS perlu segar dan lancar, jika tidak putuslah nyawa. Direct nego dalam urusan ini tidak boleh menjadi modal politik supaya wajah kerajaan baru dilihat lebih putih daripada dulu. Siapa pula dan sejak bila ia hitam dan dihitamkan?

Ada hal yang tersebu di serombong hidung, yang menyekat NAFAS daripada lega dan lapang. Serba salah telah muncul sejak sosok politik diletakkan dibaris depan NAFAS dan rangkaiannya.

Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah(ALP) PPN dan ALP PPK daripada kuota Menteri telah merampas ruang pemilihan secara demokrasi seperti sebelum ini. PPN dan PPK sebelumnya menjadi tempat orang dari pelbagai parti dan aktivis peladang melondehkan warna politik mereka. Matlamat utama di posisi itu ialah menguruskan kebajikan semua peladang dan petani.

Kuota lantikan Menteri itu dipenuhi oleh pimpinan politik sebuah parti yang menerajui Kementerian Pertanian. Mereka bukan petani, bukan pesawah, tetapi aktivis politik parti pemerintah. Untuk apa mereka berada dalam PPN dan PPK jika NAFAS boleh kehilangan kerja?

Ia meransang kemarahan dan bantahan. Lebih ramai lantikan Menteri berbanding pemilihan sesama ahli mengundang jengkel dan meluat. Keadaan menjadi tegang tak tentu pasal. Fokus asal pertubuhan peladang di semua peringkat terganggu.

Periuk nasi NAFAS pun diheret ke proses tender terbuka selari dengan dasar kerajaan baru tanpa mereka sedari akibatnya. Bukankah itu berpunca daripada mereka sendiri. Kalau bukan lembab dan bengap, apakah yang lebih sesuai? Merekalah yang mensesakkan NAFAS.

NAFAS tidak wajar diheret ke kancah politik. Ia harus segar dan lancar dengan peranan dan tanggung jawabnya. Isu-isu sewa hotel di Tanjung Piai, kronisme, lobi, mahal, lambat, tidak dengar arahan, KSU, PM, surat, bla bla bla… Menteri Pertanian dan pemimpin PAN lah harus menjawabnya. Ia bukan isu NAFAS, itu isu perut!

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
ADUN Jeneri
Sik Kedah – HARAKAHDAILY 22/11/2019

- Advertisement -