Siaran langsung Bajet Terengganu 24 Nov ini

- Advertisement -

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu akan membentangkan Belanjawan Terengganu (Bajet) 2020, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, 24 November ini.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka membentangkan Bajet itu pada Sidang Dun Terengganu yang bermula 24 hingga 28 November ini di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said berkata, orang ramai berpeluang menyaksikan pembentangan Bajet Terengganu 2020 yang disiarkan secara langsung.

Katanya, kerajaan negeri melalui UPDI menyediakan beberapa saluran siaran internet termasuk facebook rasmi milik Menteri Besar Terengganu sendiri.

“Seluruh rakyat Terengganu dijemput untuk sama-sama menyaksikan perancangan kerajaan negeri dalam membawa Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

“Kami (UPDI) menyiarkan secara langsung ucapan bajet itu dan orang ramai boleh melayari siaran itu melalui facebook Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, facebook TV Darul Iman dan YouTube TV Darul Iman.

“Pembentangan belanjawan itu akan berlangsung pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet).

“Persidangan akan bermula 24 November (Ahad) dan berakhir pada hari Khamis 28 November. Sesi pembentangan bajet setiap tahun pastinya mendapat perhatian oleh seluruh rakyat Terengganu,” ujarnya kepada Harakah semalam.

Malah, kata beliau, rakyat negeri ini menanti-nanti tarikh pembentangan Bajet 2020 itu yang menjadi harapan seluruhnya.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin serta bertanggungjawab, kerajaan di bawah kepimpinan Dato’ Seri Dr Samsuri pasti tahu apa yang perlu dilakukan demi kesejahteraan rakyat.

“Setiap intipati peruntukan bajet menjadi fokus dalam kalangan rakyat dan penganalisis kewangan, Insya’Allah,” jelasnya.

Apa yang penting, katanya sebarang jangkaan dan harapan rakyat terhadap Belanjawan Terengganu 2020 akan diselaraskan dengan kedudukan kewangan kerajaan.

- Advertisement -