Isu arak: PH tambah senarai kegagalan

    - Advertisement -

    PASIR SALAK: Suara-suara yang mahukan keterbukaan untuk penjualan dan peminuman arak menjadi satu lagi isu yang menunjukkan kegagalan pemerintahan PH menangani masalah sosial.

    - Advertisement -

    Timbalan Ketua Muslimat PAS Kawasan Pasir Salak, Ustazah Masitah Shafie berkata, gesaan dan desakan berani di zaman pemerintahan PH ini menambahkan lagi senarai kegagalan koalisi tersebut.

    Beliau berkata demikian dalam majlis Munajat Perpaduan melibatkan seramai 50 ahli dan pimpinan Muslimat PAS dan Wanita Umno Parlimen Pasir Salak di Kampung Kunci Air 4, Chenderong Balai, di sini semalam.

    “Kita berusaha hindarkan anak-anak kita dari rokok, vape dan masalah sosial masyarakat. Namun, kini arak pula terpaksa dihadapi. Konon bawa Islam Rahmatan Lil ‘Alamin. Tapi tidak bersuara terhadap arak.

    “Sedangkan dalam al-Quran, secara terang mengharamkan arak dan Nabi senaraikan lapan golongan yang terlibat dengan arak ini dilaknat Allah. Ini jelas satu ancaman terhadap umat Islam kerana kita tahu keburukan dan kesan arak.

    “Jadi kita tuntut semua untuk lebih bersemangat ukhuwah untuk sama-sama dalam Muafakat Nasional bertindak untuk menangani hal-hal seperti ini,” ujarnya mengingatkan.

    Sementara itu, mantan Ketua Wanita Umno Cawangan Kunci Air 4, Noridah Abdul Rashid menyifatkan munajat yang berterusan selepas PRK P.165 Tanjung Piai itu telah memberi semangat perpaduan baru di semua peringkat.

    “Sekiranya berlaku pilihan raya di Dun Sungai Manik ini dan PAS yang bertanding, kami daripada Umno sepakat bersatu hati dan bersedia untuk memberi undi kepada PAS.

    “Walaupun berbeza parti, silaturahim kalangan keluarga yang terdiri daripada PAS dan Umno tak pernah kita putuskan sejak sekian lama. Apatah lagi sekarang dengan Muafakat (Nasional),” katanya merujuk kepada anak saudaranya yang juga Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pasir Salak, Saridaton Kamil. – HARAKAHDAILY 21/11/2019

    - Advertisement -