Ganti Lim Guan Eng dengan Anwar Ibrahim

- Advertisement -

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk membuat rombakan Kabinet selepas kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai baru-baru ini sememangnya dialu-alukan. Jelas sekali Tun Dr Mahathir terpaksa mengakui, kelemahan ketara Kerajaan PH menjadi punca utama kekalahan teruk tersebut, sekali gus mengesahkan dakwaan pimpinan Muafakat Nasional bahawa Kerajaan yang menerajui negara hari ini adalah Kerajaan Kakistocracy (Kerajaan tempang dan lemah).

Salah satu portfolio yang paling ketara kegagalannya sehingga menyebabkan ekonomi negara dalam keadaan tidak menentu dan kehidupan rakyat semakin tertekan, ialah  Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Lim Guan Eng dan dibantu oleh Tony Phua. Sekiranya Tun Dr Mahathir benar-benar mahu membaiki kelemahan ketara Kerajaan PH, Lim  Guan Eng perlu ditukar segera dan diganti oleh seseorang yang benar-benar berpengalaman dalam Kabinet sebelum ini khususnya berkaitan dengan ekonomi dan kewangan.

Persoalannya siapakah dari kalangan pimpinan PH yang mempunyai kelayakan itu kerana kebanyakan pimpinan utama PH baru terlibat dalam memimpin Kerajaan? Menurut pengamatan saya, ada dua orang yang boleh diharapkan untuk memikul tanggungjawab tersebut, Dato Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, atau Dato Sri Mustafa Mohamad, pimpinan BERSATU. Kedua-dua mereka ada pengalaman yang lama dalam Kabinet khususnya berkaitan dengan hal ehwal ekonomi dan kewangan.

Bagaimanapun, Dato Sri Mustafa sukar diterima oleh parti-parti komponen PH yang lain disebabkan beliau baru sahaja menyertai PH dan melompat dari Umno. Maka calon yang boleh diletakkan harapan untuk mengganti Lim Guan Eng ialah Dato Seri Anwar, yang pernah menerajui portfolio Menteri Kewangan semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sebelum ini. Selain daripada itu, Dato Seri Anwar juga mempunyai rangkaian hubungan luar yang baik sama ada dengan Barat atau negeri-negara dunia Islam.

Melihat kepada kepentingan negara dan rakyat yang perlu diutamakan, Tun Dr Mahathir perlu berlapang dada untuk menerima kemasukan Dato Seri Anwar ke dalam Kabinet. Pada ketika yang sama, Dato Seri Anwar seharusnya melupakan hasratnya untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri dalam tempoh penggal Parlimen ini sehinggalah selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Saya yakin hanya dengan tolak ansur seperti ini negara dan rakyat dapat diselamatkan dari terjerumus dalam krisis ekonomi dan tekanan sara hidup yang lebih teruk.

Boleh jadi pandangan yang dikemukakan ini akan memperkuatkan semula Kerajaan PH dan menyebabkan Muafakat Nasional menghadapi kesukaran untuk berhadapan dengan mereka dalam PRU ke-15 akan datang. Namun begitu, sebagai sebuah blok kerjasama yang mendukung Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), kepentingan negara dan rakyat harus diutamakan. Sekiranya negara dan rakyat terus ditadbir oleh Kerajaan Kakistocracy, berkemungkinan besar Malaysia akan menuju ke sebuah negara yang gagal (fail state).

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat

21 November 2019
24 Rabiulawwal 1441 – HARAKAHDAILY 21/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -