Peluru, dedak dan teguran

- Advertisement -

DEDAK dan kejatuhan Uthmaniah

(1)     Sebelum ini saya pernah menulis nota ringkas tentang sikap sesetengah umat Islam yang gelojoh dan ghairah untuk mengutip peluru-peluru di medan tempur media.

Tak perlu pandang jauh. Hanya perlu berdiri di hadapan cermin, kemudian muhasabah. Apa yang menjadi penyakit kepada umat Islam ialah sering diperalat untuk agenda-agenda tertentu.

(2)     Saya pernah ceritakan sebelum ini bagaimana Uthmaniah yang asalnya tidak berkaitan dengan Perang Dunia Pertama, akhirnya diseret sekali dalam kancah tersebut.

a-     Uthmaniah diseret ke kancah tersebut hanya disebabkan 2 juta Kurush. Tergadai nyawa Umat Islam dek kerana terkencing dengan dedak yang ditaburkan oleh Jerman.

Boleh baca artikel tersebut pada nota kaki [1]. Akibat perangai Pasha-pasha yang laparkan dedak, menyebabkan Uthmaniah menjadi ‘bahan’ untuk diranapkan.

b-     Apabila tersepit dengan dedak, Khalifah menyeru Umat Islam di seluruh dunia bangkit menentang Tentera Bersekutu dalam Perang Dunia Pertama. Umat Islam seluruh dunia bangkit, termasuk di Nusantara.

Masing-masing bangun menentang penjajahan Tentera Bersekutu di tanah air masing-masing. Sedangkan mereka tidak tahu, rupa-rupanya Khalifah sendiri sudah termakan dedak.

c-     Cuba bayangkan apa perasaan Umat Islam sekiranya mereka pakat tahu seruan jihad tersebut hanya disebabkan pemerintahan pusat termakan dedak Jerman?

Peluru yang ditaburkan

(1)     Di Malaysia hari ini, ‘mereka’ sedang bertempur dalam diam. Geng M ada tentera dan proksinya. Geng A pun sama. Masing-masing nak ‘kuasai minda’ rakyat Malaysia dengan menimbulkan isu-isu hot.

Beberapa Rakyat Malaysia sangat pulun bab teori konspirasi dunia. Zionis, Yahudi, Amerika, Rusia dan lain-lain. Tapi konspirasi di tanah air sendiri macam tak pandai pula nak kaji.

(2)     Cuma, yang paling ramai ialah macai yang tak tahu hujung pangkal. Hanya tahu share kemudian troll. Mereka tak boleh bezakan apa yang dia share itu menjahanamkan kumpulan sendiri atau memang peluru untuk ditembak pada musuh.

(3)     Walau bagaimanapun, catur masih bergerak, hingga sampai saatnya kita tengok siapa yang kena ngap. Harapannya cuma satu, iaitu semoga ada kebaikan untuk Islam.

Berhati-hatilah dengan peluru yang kalian lepaskan tembakannya. Kerana kita tidak tahu peluru itu ‘ditaja’ oleh siapa, dan dibekalkan untuk apa.

(4)     Semasa Syarif Hussein dilagakan dengan Bani Saud oleh Barat dengan skrip rancangan mereka, Barat mengambil pendekatan dengan membekalkan senjata kepada Kumpulan Syarif Hussein, dan turut membekalkan senjata kepada Bani Saud.

Tujuan? Untuk menyuburkan peperangan di antara mereka.

(5)     Di Malaysia? Peluru-peluru ditaburkan di media, lalu kita yang gelojoh dan tak cerdik ini, main ambil sahaja peluru-peluru itu dan ditembak ke arah yang tidak diketahui. Asalkan puas hati.

Berwaspadalah.

Qarun yang tersesat disebabkan duit

(1)     Sejarah demi sejarah mengajar kita agar berwaspada dengan perancangan musuh. Berapa banyak sejarah Umat Islam tumpas disebabkan tawaran duit?

Sedangkan Sirah Nabi Muhammad S.A.W, Baginda menolak tawaran kekayaan daripada pembesar Quraisy. Seolah-olah sirah ini tidak pernah dibaca.

(2)      Allah S.W.T berfirman:

- Advertisement -



۞ إِنَّ قَـٰرُونَ كَانَ مِن قَوۡمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَیۡهِمۡۖ وَءَاتَیۡنَـٰهُ مِنَ ٱلۡكُنُوزِ مَاۤ إِنَّ مَفَاتِحَهُۥ لَتَنُوۤأُ بِٱلۡعُصۡبَةِ أُو۟لِی ٱلۡقُوَّةِ إِذۡ قَالَ لَهُۥ قَوۡمُهُۥ لَا تَفۡرَحۡۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ ٱلۡفَرِحِینَ

“Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).”



Al-Quran menceritakan bagaimana Qarun yang asalnya merupakan jemaah Nabi Musa A.S akhirnya berpaling tadah disebabkan kekayaan hartanya.

(3)     Bahkan Allah S.W.T juga menggambarkan kekayaan Qarun dengan agak terperinci. Di penghujung ayat tersebut Allah S.W.T menceritakan bagaimana ada satu golongan yang menegur penyelewengan Qarun:



“Ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah.”



Secara Sunnahnya, apabila ada ahli gerakan Islam yang tersimpang, maka Allah akan hadirkan sekelompok manusia yang menegurnya.

Reaksi Qarun terhadap teguran

(1)     Dialog Qarun dengan sekelompok manusia yang menegurnya diteruskan lagi pada ayat 77 Surah al Qasas. Namun, Qarun dengan sombongnya menjawab;



قَالَ إِنَّمَاۤ أُوتِیتُهُۥ عَلَىٰ عِلۡمٍ عِندِیۤۚ

“Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”.”



(2)     Tetapi Allah S.W.T menyatakan bahawa Qarun tidak belajar daripada kisah-kisah Umat terdahulu yang dimusnahkan;



أَوَلَمۡ یَعۡلَمۡ أَنَّ ٱللَّهَ قَدۡ أَهۡلَكَ مِن قَبۡلِهِۦ مِنَ ٱلۡقُرُونِ مَنۡ هُوَ أَشَدُّ مِنۡهُ قُوَّةࣰ وَأَكۡثَرُ جَمۡعࣰاۚ وَلَا یُسۡـَٔلُ عَن ذُنُوبِهِمُ ٱلۡمُجۡرِمُونَ

“(Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).”



(3)     Allah S.W.T menceritakan lagi bahawa di sana ada satu kelompok yang tersilau dengan kekayaan Qarun;



فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوۡمِهِۦ فِی زِینَتِهِۦۖ قَالَ ٱلَّذِینَ یُرِیدُونَ ٱلۡحَیَوٰةَ ٱلدُّنۡیَا یَـٰلَیۡتَ لَنَا مِثۡلَ مَاۤ أُوتِیَ قَـٰرُونُ إِنَّهُۥ لَذُو حَظٍّ عَظِیمࣲ

“Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”.”



(4)     Tetapi golongan yang tersilau dengan kekayaan Qarun ini ditegur pula oleh mereka yang benar-benar berilmu;



وَقَالَ ٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡعِلۡمَ وَیۡلَكُمۡ ثَوَابُ ٱللَّهِ خَیۡرࣱ لِّمَنۡ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحࣰاۚ وَلَا یُلَقَّىٰهَاۤ إِلَّا ٱلصَّـٰبِرُونَ

“Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar”.



Dialog 4 penjuru

(1)     Secara ringkasnya, tafsir Ibn Kathir tentang ayat 76-80 Surah al Qasas yang saya ceritakan tadi menceritakan tentang dialog 4 penjuru, iaitu

a-     Qarun yang ditegur oleh orang Soleh

b-     Orang yang silau dengan kekayaan Qarun, ditegur oleh orang berilmu

(2)     Dialog ini menceritakan bahawa menjadi satu sunnah apabila ada golongan yang tersesat, Allah S.W.T akan menghantar makhluknya untuk tegur.

Sama ada orang Soleh yang takutkan kemungkaran, atau orang alim yang diberikan ilmu kepadanya. Sudah pasti tersirat makna di sebalik dialog ini.

(3)     Daripada ayat 36 Surah an Nahlu, Allah S.W.T berfirman;



وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ….

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”.”



Sunnah ini menceritakan bagaimana Allah S.W.T mewujudkan kelompok yang menegur kemungkaran. Sama ada ia adalah seorang Rasul, atau orang Soleh, atau orang yang berimu.

(4)     Namun, dalam kata-kata Imam Ahmad R.A menceritakan risiko apabila orang alim itu berdiam diri dengan kemungkaran;



“اذا سكت العالم تقية والجاهل ينطق فمتى يظهر الحق؟”

“Jika ulamak diam kerana menyelamatkan diri, dan orang jahil pula bersuara, maka bilakah akan terzahir kebenaran?”



Tegur dengan kebenaran

(1)     Apabila kita sudah mengetahui bahawa secara Sunnahnya Allah S.W.T menghadirkan orang yang akan menegur kesilapan seseorang, maka apa respon kita sepatutnya?

Adakah wajar kita mengambil sikap seperti Qarun yang mendabik dada penuh kesombongan sambil berkata ‘ini usaha aku’? Atau hanya dengan beralasan ‘aku lebih pandai’.

(2)     Marilah kita sama-sama hayati bagaimana Abdullah bin Ummi Maktum seorang yang buta, datang kepada Baginda S.A.W untuk menanyakan soalan.

Tetapi soalan tersebut tidak diendahkan oleh Baginda S.A.W sehinggalah turunnya ayat pertama Surah Abasa. Iaitu teguran Allah S.W.T kepada Baginda S.A.W.

(3)     Kita yang menyatakan mengikut manhaj Nabi S.A.W sepatutnya belajar menerima teguran. Jangan mengambil pendekatan sombong sepertimana Qarun.

(4)     Di dalam Surah al Asr, Allah S.W.T menyifatkan ciri-ciri orang yang tidak rugi ialah التواصي بالحق iaitu berpesan dengan kebenaran. Rata-rata para Ulamak menafsirkan الحق sebagai كتاب الله iaitu al Quran.

Apakah reaksi kita andai kita ditegur dengan al-Quran? Sepertimana peringatan-peringatan oleh para Nabi terdahulu, terhadap kaum-kaumnya yang keras kepala.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2984875511554189&id=100000953077134HARAKAHDAILY 20/11/2019

- Advertisement -