Arak bukan untuk khalayak ramai – PAPISMA

- Advertisement -

PERTUBUHAN Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) sebagai salah satu NGO mewakili doktor perubatan Muslim di Malaysia, menafikan kenyataan tidak bertanggungjawab yang telah dikeluarkan oleh Federation of Private Medical Practitioners’ Associations Malaysia (FPMPAM) dan Malaysian Medical Association (MMA) pada 20 November 2019 melalui media FMT kerana dilaporkan sebagai mewakili suara doktor perubatan di Malaysia.

- Advertisement -

PAPISMA juga membantah keras kenyataan FPMPAM dan MMA terhadap cadangan YB Noh Omar dan YB Ahmad Fadhli Shaari di Parlimen melarang aktiviti penjualan dan meminum arak secara terbuka di khalayak ramai.

PAPISMA yakin terdapat ramai lagi di kalangan ahli FPMPAM dan MMA yang terdiri daripada doktor perubatan Muslim mahupun yang bukan beragama Islam juga tidak bersetuju dengan kenyataan pimpinan mereka. Kenyataan tersebut telah mengabaikan sensitiviti dan hak ahli persatuan dalam menentukan pendirian persatuan yang mereka sertai. Maka tindakan yang sewajarnya adalah agar kenyataan pimpinan tersebut dibantah secara terbuka ataupun mereka berhenti daripada menyertai persatuan tersebut.

Terlalu banyak fakta perubatan yang membuktikan keburukan akibat daripada arak. Walaupun ada sedikit kebaikan, ternyata kerosakan dan kemusnahan akibat arak adalah jauh lebih banyak. Fakta ini diperakui oleh semua agama dan bangsa sehingga negara Ireland sendiri menyusun peraturan yang amat ketat meminum arak melalui akta minuman keras tahun 2000, 2003 dan 2008. Minum arak di khalayak ramai juga dilarang di banyak negara lain seperti Kanada, Chile, Finland, Lithuania, Mexico, Norway, Poland, Russia dan Slovakia. Maka adalah tidak munasabah bagi Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Islam boleh membenarkan penjualan dan meminum arak secara terbuka di khalayak ramai.

Naratif Malaysia Baru memerlukan pimpinan dan golongan profesional yang bertanggungjawab membina masyarakat Malaysia yang maju dan berjaya, tanpa korupsi dan juga tanpa amalan dan budaya yang membawa kepada kemusnahan dan masalah. PAPISMA yakin masyarakat Malaysia akan lebih sihat dan produktif tanpa amalan minum arak dan alkohol.

Namun begitu penggunaan arak dan alkohol secara peribadi tanpa mengakibatkan mudarat kepada orang lain dan dalam kerangka agama serta perundangan yang dibenarkan di kalangan rakyat bukan Islam adalah hak yang dipelihara.

PROF DATO’ DR SUHAINI KADIMAN
Presiden PAPISMA – HARAKAHDAILY 20/11/2019

Rujukan

  1. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2019/11/20/doctors-groups-against-alcohol-ban/
  2. https://www.citizensinformation.ie/en/justice/criminal_law/criminal_offences/alcohol_and_the_law.html
  3. https://www.niaaa.nih.gov/alcohols-effects-body
  4. https://www.who.int/substance_abuse/publications/en/global_status_report_alcohol_policy_overview.pdf
  5. https://www.thestar.com.my/opinion/letters/2013/07/05/ban-the-drinking-of-alcohol-in-public-places
- Advertisement -