PRK Tg Piai: Menolak budaya ekstrem

- Advertisement -

- Advertisement -

PAS diserang paling hebat secara khusus oleh DAP yang mendominasi PH tanpa menghormati Perdana Menteri yang dilantik melalui PRU 14. Walaupun mereka menonjolkan ke hadapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mahu menjadi PM, tetapi sebenarnya merekalah yang mahu mengambil alih kepimpinan negara dan akhirnya melompat menjadi PM, walaupun pihak lain sangat rakus sehingga tidak sabar-sabar menunggu masa yang sesuai menjadi PM.

Almarhum Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan yang memimpin Umno menerima jus soli dengan membanjirkan kerakyatan warga pendatang dalam pembentukan Malaysia. Selepas itu beliau bertindak mengeluarkan Singapura daripada Malaysia setelah tersentak dengan PAP yang menguasai Singapura, apabila PAP menubuhkan cabangnya di Semenanjung Tanah Melayu. Namun cita-cita PAP tetap diteruskan dengan ditukar nama kepada DAP.

PAS tidak hairan apabila Tun Mahathir menjadi sasaran DAP kerana beliau seorang Melayu yang tidak lupa dengan sikapnya yang menentang jus soli dahulu. PAS juga tidak hairan mengapa menjadi sasaran serangan bertubi-tubi oleh DAP ketika PRK Tanjung Piai, walaupun PAS tidak bertanding tetapi MCA yang bertanding dan juga menjadi sasaran serangan DAP.

PAN pula dipuja kerana ditubuhkan untuk menggantikan PAS yang menjadi penghalang cita-cita DAP dan sekutunya, sehingga ahli PAN paling ramai diumpan berada dalam kabinet, tidak sepadan dengan jumlah kerusi dan kemenangannya yang menumpang sokongan DAP.

Mungkin ramai yang merasa hairan mengapa PAS mengerahkan jenteranya menolong calon MCA bersama Umno. Sebabnya adalah PAS tidak lupa sejarah, kerana MCA adalah parti kaum Cina yang berada di Parlimen sejak awal bersama PAS, yang dilihat bersama ketika Perlembagaan Persekutuan sedang dirundingkan.

MCA tidak menyokong Komunis yang diharamkan. PAS juga menentang Komunis sehingga menyokong ISA demi keselamatan negara ketika dalam keadaan darurat walaupun PAS berada di kerusi pembangkang dan turut menjadi mangsa penyalahgunaan ISA. PAS turut menyaksikan bahawa mereka yang menentang ISA itu sebenarnya bagi menyelamatkan anasir Komunis yang diharamkan.

Paling menarik terkini, apabila demografi Tanjung Piai yang majoriti pengundi Melayu, namun memenangkan calon MCA dengan sokongan Umno dan PAS yang dikatakan fanatik perkauman. Sehingga kedua-dua parti ini menubuhkan Muafakat Nasional yang dituduh sebagai gabungan perkauman yang digambarkan berwajah Taliban yang mengganas di Afghanistan.

Walaupun PH menguasai kerajaan negeri dan pusat, sehingga menggunakan jentera kerajaan dan mengumumkan peruntukan kewangan di Tanjung Piai, tetapi pengundi menolak PH yang meletakkan calon Melayu daripada Parti Bersatu yang berketuakan PM sendiri.

Saya tidak tahu kejujuran DAP, PKR dan PAN dalam kerjanya sama ada wujud udang di sebalik mi atau tidak, dan sikap sebenar mereka terhadap PM yang dianggap penghalang untuk cepat mengambil alih jawatan yang paling diidamkan itu, kerana Allah sahaja yang Maha Mengetahui niat dalam hati seseorang.

Walaupun ada di kalangan pemimpin DAP telah membuat kenyataan seperti tidak mahu bertanggungjawab dengan kekalahan itu kerana bukan DAP yang bertanding, tetapi ada pemimpin DAP yang membuat kenyataan bahawa keputusan PRK Tanjung Piai laksana gempa bumi terhadap PH.

Inilah perasaan sebenar parti yang sangat rakus dengan kemenangan kali pertama yang tidak pernah merasai kemenangan seperti ini atau dianggap menjadi tanda yang menghalang cita-cita yang maha besar dan maha tinggi untuk merampas kuasa negara yang berpusat di Putrajaya yang menjadi idaman dan impian.

Apa yang terpenting menerusi PRK Tanjung Piai adalah memberi keputusan yang sangat bermakna kepada landskap politik negara masyarakat majmuk, memperkenalkan siapa yang sebenarnya ekstrem, dan menolak fitnah terhadap Melayu yang berpegang dengan Islam yang sebenar bahawa boleh menerima bangsa yang mengenang budi dalam MCA.

Ini juga menunjukkan masih ramai di kalangan bukan Islam mahu hidup secara harmoni dan menjaga perpaduan dalam masyarakat majmuk yang wajib diberi perhatian, serta menolak sekeras-kerasnya kumpulan yang menyimpan ciri-ciri ekstremisme walaupun bertopengkan dengan kenyataan yang manis dan indah.

Adapun Melayu Islam hendaklah berpolitik matang dan sejahtera mengikut ajaran Islam bahawa Islam tetap memimpin dan menerima masyarakat majmuk berkonsepkan adil dan hak yang saksama.

PAS pula tidak terkesan dengan serangan terhadapnya selagi beristiqamah bersama Islam, sehingga PAS tidak gelabah dengan berulang beberapa kali kalah dan jatuh kerajaan negeri di Terengganu, Kelantan dan Kedah. Maka kalah pilihan raya kecil adalah sangat kecil.

Walaupun dihujani fitnah, PAS tetap kebal bersama dasar dan matlamat perjuangannya, sehingga akhirnya pihak lawan yang kecundang laksana kata pepatah Arab:

ضربني وبكى، ظلمني واشتكى.

“Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang mengadu”.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Rabi’ul Awal 1441 / 19 November 2019 – HARAKAHDAILY 19/11/2019

- Advertisement -