PAS-Umno sumbang beg untuk pelajar kaum India

    - Advertisement -

    BUKIT GANTANG: Seramai 100 pelajar kaum India menerima sumbangan beg daripada Pusat Khidmat PAS Bukit Gantang dan Pusat Khidmat Adun Terong pada majlis Ramah Mesra Muafakat Nasional di Terong, di sini kelmarin.

    - Advertisement -

    Sumbangan disampaikan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Adun Terong, Jamilah Zakaria serta turut dihadiri Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri Perak, Ustaz Azmi Murad.

    Juga turut bersama adalah Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Faisal Abdul Rahman dan Pemangku Ketua Umno Bukit Gantang, Kamarudin Abu Bakar serta Ketua MIC Bukit Gantang, Shanmugavello Govindasamy.

    Dalam ucapannya, Ustaz Idris menyifatkan pertemuan tersebut sebagai sangat bersejarah serta penuh bermakna hasil dari kerjasama yang diberikan oleh MIC Bukit Gantang menghimpunkan kehadiran begitu ramai itu.

    “Semoga sumbangan ini dapat meringankan persiapan menghadapi sesi persekolahan tahun hadapan. Inilah bukti Muafakat Nasional yang kita dukung tidak meminggirkan mana-mana kaum di Malaysia.

    “Kita akan mengutamakan kebajikan rakyat walaupun PAS dan Umno berstatus pembangkang dengan keupayaan kewangan yang terhad pada waktu ini,” katanya lagi.

    Pada majlis ini, Naib Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat, S Suria Narayanan turut memperkenalkan anggotanya sebagai salah satu entiti dalam PAS yang berperanan menghimpunkan seluruh penyokong PAS bukan-Muslim.

    Turut diadakan sesi dialog bersama kepimpinan PAS, Umno dan MIC yang menjawab pelbagai persoalan mengenai isu-isu semasa, konsep Muafakat Nasional dan penglibatan kaum India dalam arus politik nasional. – HARAKAHDAILY 19/11/2019

    - Advertisement -