Muslimat perlu bimbing kaum wanita dari lalai

- Advertisement -

TAIPING: Ucaptama Muktamar bukanlah disebut secara sengaja kerana ia merupakan satu graf penyediaan untuk setiap ahli melihat wawasan dan harapan Ketua Muslimat PAS Malaysia.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Malaysia, Noraini Hussin menerangkan, muktamar yang dijayakan saban tahun bertujuan mengetahui tindakan selaku amilin untuk bertindak di dalam PAS.

“Tanpa organisasi Dewan Muslimat PAS Malaysia, kita (Muslimat) tidak mampu menyalurkan tindakan dan suara ke mana-mana tempat,” ujarnya di progam JELAS yang berlangsung di Markaz PAS Air Kuning, di sini kelmarin.

Menurutnya, tema ‘Islam Memimpin Wanita Sejahtera’ tidak tersekat hanya kepada Muslimat PAS sahaja, malah ia sebenarnya lebih meluas melibatkan seluruh wanita yang perlu sentuhan Islam.

“Perjuangan PAS berfokus kepada tiga agenda utama iaitu tarbiyah, dakwah dan siasah. Tarbiyah itu masih tidak cukup untuk diri kita sebaliknya harus bergerak seiring dengan gerak kerja dakwah dan siasah.

“Ramai masyarakat di luar sana yang buta akhlak, buta jiwa, buta politik dan buta akidah yang menyebabkan mereka makin hari makin jauh dan jiwa mereka dikuasai oleh musuh-musuh Allah. Oleh itu ketiga-tiga elemen itu harus seiring bergerak.

“Peranan kita adalah menerangkan hak dan tanggung jawab Islam kepada masyarakat supaya mereka tahu tugas mereka selaku khalifah di atas muka bumi ini.

“Kita (muslimat PAS) perlu cari teknik mendekati golongan wanita yang sibuk dengan hal kerjaya, sibuk membesarkan anak yang menyebabkan mereka lalai dari tanggung jawab khalifah Islam sehingga mereka jelas akan peranan Allah mengutuskan manusia,” terang beliau.

Dewan Muslimat PAS juga jelasnya, tidak ketinggalan dalam membangun produk PAS seperti Ameerah, Nusaibah dan Briged Muslimat yang berfokus kepada pengundi muda dan memiliki peranan besar menyumbang tenaga dalam gerak kerja PAS.

Selain itu, beliau juga menyarankan agar Muslimat PAS mengambil iktibar kekalahan dalam PRU14 dan berusaha melipatgandakan persediaan bagi menghadapi PRU15.

Menjelaskan mengenai usaha memperkasa Muafakat Nasional, Muslimat PAS ditegaskan agar memainkan peranan sebagai agen penerangan kepada masyarakat terhadap agenda Penyatuan Ummah yang dibawakan oleh Tuan Guru Presiden.

“Jelaskan kepada masyarakat bahawa PAS dan Umno perlu bekerjasama dan bermuafakat kerana Tuan Guru Presiden mengambil pendekatan bahawa kita wajib menerima kumpulan yang inginkan perdamaian,” terangnya lanjut.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Muslimat PAS Selangor menyeru agar Muslimat PAS sentiasa bersiap siaga menghadapi PRU15 yang dijangka berlaku bila-bila masa berdasarkan pergolakan sedia ada dalam Kerajaan PH. – HARAKAHDAILY 19/11/2019

- Advertisement -