Berpegang dengan kebenaran sekalipun bersendirian

- Advertisement -

ANGKA yang menipu

(1)     Semalam saya ada membincangkan post-mortem tentang ‘bilangan’ (kuantiti) yang menjadi simbol ketuanan demokrasi. Kali ini sama-sama kita lihat bagaimana sistem ini menuju zaman penghujungnya.

Artikel ini boleh dikatakan sambungan kepada post-mortem semalam. Boleh baca artikel semalam pada link yang disediakan [1]. Ia sebagai satu post-mortem buat gerakan Islam.

Ini kerana apabila kita sudah terlalu lama bergelumang dalam demokrasi, kadang-kadang membuatkan kita seolah-olah terikat dengan penilaian terhadap bilangan.

(2)     Biasanya diukur dengan ‘siapa yang paling banyak buat program, dia yang hebat’. Sedangkan apa guna kalau program banyak, tapi tidak mencapai peratus sasaran?

Kadang kala juga, ukur melalui bilangan kehadiran. Apabila program dihadiri oleh ramai orang, ia dianggap berjaya sedangkan berapa peratus sasaran keberjayaannya?

(3)     Pasca PRU12 menyaksikan PAS memerintah Perak pada 2008/09. Walaupun dengan bilangan kerusi yang paling sedikit, tetapi boleh memegang jawatan utama.

Pengalaman dalam Dewan Pemuda PAS Kawasan Gerik ketika itu, bilangan pemudanya cukup ramai. Kehadiran yang ramai dalam program. Adakah bilangan itu simbol kepada kemenangan?

Tidak juga. Tak lama selepas itu, bilangan terus menyusut, kembali seperti asalnya. Khususnya apabila Kerajaan Perak beralih tangan kembali kepada Barisan Nasional.

Mengejar bilangan berbanding matlamat

(1)     Apa yang saya lontarkan ini mungkin hanya dari satu sudut kaca mata, dari ‘orang Hulu Perak’. Tapi saya yakin, realitinya sama sahaja. Apabila menang, ramai yang bersama.

Namun, apabila di kancah kekalahan, semuanya berlepas tangan buat kerja masing-masing asal bahagia. Seolah-olah sudah menjadi lumrah dalam dunia perjuangan.

(2)     Sebab itulah persoalan tentang ‘bilangan’ perlu diteliti agar tidak menjadi ilusi. Boleh teliti semula post-mortem Imam Qurtubi yang saya sharekan dalam artikel semalam.

Apabila manusia terikat dengan pengaruh kuantiti, maka mereka akan mengejar untuk memenuhkan kuantiti tersebut. Bukan lagi mengejar objektif program.

(3)     Kalau dari satu sudut, ia boleh dinamakan penyelewengan matlamat. Asalnya kejar matlamat (objektif) tapi dah tertukar kepada kejar bilangan (kuantiti).

Kalau dalam skala yang lebih besar, penyelewengan matlamat juga lebih besar skalanya. Asalnya kejar matlamat perjuangan supaya diredhai Allah, tertukar kepada kejar skala pengaruh politik.

(4)     Sebab itulah apabila kita saksikan di dalam Sirah Nabi S.A.W kesemua perang yang dilalui, bilangan tentera Islam kurang berbanding musuh. Seolah-olah, realiti ini tidak pernah dikaji oleh kita.

Ya, kita sedar bilangan tentera Islam setiap perang pastinya sedikit berbanding musuh. Tetapi kita tak kaji bagaimana sifat para Sahabat R.A di dalam perang tersebut sehingga diberi kemenangan walaupun bilangan sikit.

Post-mortem Imam Ibn Kathir

(1)     Kita ambil satu contoh, Perang Hunain. Tentera Islam ketika itu merasa takjub dengan ‘bilangan’ yang ramai. Lalu ditegur oleh Allah S.W.T;

- Advertisement -



لَقَدۡ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ فِی مَوَاطِنَ كَثِیرَةࣲ وَیَوۡمَ حُنَیۡنٍ إِذۡ أَعۡجَبَتۡكُمۡ كَثۡرَتُكُمۡ فَلَمۡ تُغۡنِ عَنكُمۡ شَیۡـࣰٔا وَضَاقَتۡ عَلَیۡكُمُ ٱلۡأَرۡضُ بِمَا رَحُبَتۡ ثُمَّ وَلَّیۡتُم مُّدۡبِرِینَ

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan Perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”

(at-Taubah: 25)



Ayat ini jelas merupakan post-mortem daripada Allah S.W.T. Ia dimulakan dengan aqidah, iaitu kemenangan diberikan oleh Allah S.W.T, bukannya disebabkan ramainya bilangan kamu.

(1)     Imam Ibn Kathir menukilkan pandangan Mujahid (Tabi’in) menyatakan bahawa ini adalah ayat yang pertama yang diturunkan bagi Surah Taubah.

Beliau menghuraikan ayat ini sarat dengan aqidah perjuangan;



يذكر تعالى للمؤمنين فضله عليهم وإحسانه لديهم في نصره إياهم في مواطن كثيرة من غزواتهم مع رسوله وأن ذلك من عنده تعالى ، وبتأييده وتقديره ، لا بعددهم ولا بعددهم ، ونبههم على أن النصر من عنده ، سواء قل الجمع أو كثر ، فإن يوم حنين أعجبتهم كثرتهم ، ومع هذا ما أجدى ذلك عنهم شيئا فولوا مدبرين إلا القليل منهم مع رسول الله – صلى الله عليه وسلم

Allah S.W.T mengingatkan orang beriman kelebihan yang Allah S.W.T berikan kepada mereka, dan ihsan Allah S.W.T terhadap mereka dalam kemenangan yang diberikan kepada mereka di dalam banyak peperangan bersama Baginda S.A.W, bahawa kemenangan itu daripada Allah S.W.T. Kemenangan itu dengan bantuan dariNya serta ketentuanNya, bukan disebabkan bilangan tentera Islam, bukan juga disebabkan bilangan tentera musuh. Allah S.W.T memperingatkan juga bahawa kemenangan itu adalah kurniaanNya, sama ada bilangan itu sedikit atau ramai. Sesungguhnya dalam Perang Hunain, Umat Islam, meraka kagum dengan bilangan mereka yang ramai, dan ia tidak memberi apa-apa bantuan pun, lantas mereka lari bercempera melainkan sedikit sahaja yang kekal bersama Rasulullah S.A.W.



Pengaruh vs Demokrasi

(1)     Kalau realiti hari ini, aplikasi bagi penyakit mengejar bilangan terjadi pada facebooker yang mengejar bilangan likers atau sharing yang terbanyak.

Dari sudut marketing, mungkin ia dijadikan sebagai kayu ukur. Tapi dari sudut dakwah, ia boleh dikatakan palsu. Ramainya bilangan likers dan sharing bukan menjadi bukti posting kita digemari.

Adakalanya orang mensharing tulisan kita, kemudian dia quote kata-katanya mengkritik tulisan kita. Itu perkara biasa. Apatah lagi kalau ada yang sekadar like, tapi tak baca pun.

(2)     Kalau dahulu, analisa digunakan untuk mengkaji kekuatan dan keupayaan. Tetapi hari ini masing-masing berlumba-lumba menayangkan analisa untuk saraf.

Biasanya ia adalah kaedah Populism. Menayangkan ‘bilangan’ atau ‘angka’ untuk tujuan saraf, atau dijadikan senjata. Dalam pertempuran hari ini, semua perkara boleh diinovasi menjadi senjata (weaponized).

(3)     Dalam contoh yang lain, Pilihan Raya Presiden Tunisia menyaksikan bagaimana Kais Saied menang dalam pilihan raya sebagai seorang non-partisan. Agak rare jika nak diukur dengan kebiasaan dunia demokrasi.

Kebiasaan dunia demokrasi, mereka yang menang sebagai Presiden pastinya mempunyai akar umbi. Tetapi logik ini telah diketepikan dengan isu Tunisia.

(4)     Kemenangan Donald Trump dengan undi popular pada 2016 juga boleh dikira luar biasa. Pertama kali bertanding Presiden, boleh menang dengan majoriti yang besar.

Pada November 2018 pilihan raya separuh penggal diadakan, juga menyaksikan bagaimana Parti Republican masih maintain walaupun agak tercabar dengan Demokrat.

Hadis jamaah

Imam Bukhari R.A meriwayatkan daripada Saidina Huzaifah al Yamani:



كان الناس يسألون رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الخير وكنت أسأله عن الشر مخافة أن يدركني فقلت يا رسول الله إنا كنا في جاهلية وشر فجاءنا الله بهذا الخير فهل بعد هذا الخير شر؟ قال : نعم، فقلت هل بعد ذلك الشر من خير قال نعم وفيه دخن، قلت : وما دخنه؟ قال : قوم يستنون بغير سنتي ويهدون بغير هديي تعرف منهم وتنكر، فقلت : هل بعد ذلك الخير من شر؟ قال : نعم دعاة على أبواب جهنم من أجابهم إليها قذفوه فيها، فقلت: يا رسول الله صفهم لنا، قال : نعم قوم من جلدتنا ويتكلمون بألسنتنا، قلت : يا رسول الله فما ترى إن أدركني ذلك؟ قال : تلزم جماعة المسلمين وإمامهم، فقلت : فإن لم تكن لهم جماعة ولا إمام؟ قال : فاعتزل تلك الفرق كلها ولو أن تعض على أصل شجرة حتى يدركك الموت وأنت على ذلك

“Orang-orang bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang kebaikan (Islam) sedangkan aku bertanya tentang keburukan kerana aku bimbang keburukan itu menimpa diriku.

“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah S.A.W, sebelum ini kita hidup di zaman jahiliyah yang penuh keburukan, kemudian Allah S.W.T menggantikannya dengan kebaikan (Islam) ini. Adakah setelah kebaikan (Islam) ini akan muncul suatu keburukan kembali? Kemudian Rasulullah S.A.W menjawab: Ya, ada.

“Kemudian aku  bertanya lagi: Adakah setelah keburukan yang terjadi itu akan muncul lagi kebaikan (Islam)? Rasulullah S.A.W menjawab: Ya, masih ada, tetapi kebaikan itu ada kekaburan padanya.

“Kemudian aku bertanya lagi: Apa kekaburannya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: iaitu kelompok (kaum) yang mengaku Muslim tetapi perbuatannya tidak menurut Sunnahku, dan mereka memberi petunjuk tidak menurut petunjukku. Sebahagian perbuatan mereka ada yang kamu anggap baik dan sebagiannya yang lain ada yang kamu ingkari.

“Kemudian aku bertanya lagi: Adakah setelah kebaikan itu masih timbul keburukan lagi, wahai Rasulullah? Jawapannya: Ya, ada. Iaitu kemunculan penyeru-penyeru kepada pintu-pintu neraka, sesiapa yang menerima seruan tersebut, mereka akan dilempar ke dalam neraka.

“Kemudian aku bertanya lagi: Tolong jelaskan kepada kami (wahai Rasululllah) sifat mereka itu. Rasulullah S.A.W menjawab: Mereka itulah orang yang kulitnya sama dengan kulit kita dan bertutur dengan bahasa kita.

“Kemudian aku bertanya lagi: Apa yang kamu perintahkan kepada kami jika keadaan seperti itu berlaku pada kami? Jawab Rasulullah S.A.W: Kamu mesti bergantung dengan jemaah orang-orang Islam dan kepimpinannya.

“Kemudian aku bertanya lagi: Kalau sudah tidak ada jemaah orang-orang Islam dan kepimpinannya, bagaimana pula wahai Rasulullah? Rasulullah S.A.W menjawab: Tinggalkan semua kelompok-kelompok kesemuanya, dan gigitlah tunjang utama pokok sehingga kamu mati dalam keadaan itu. (berpegang teguh dengan prinsip Islam)



Sendirian berpegang dengan kebenaran

(1)     Berdasarkan Hadis ini, Nabi S.A.W berpesan bahawa kebenaran itu pada jemaah Islam, bahkan banyak lagi Hadis-hadis Nabi S.A.W yang menggesa supaya umat Islam mengikat diri mereka dengan jemaah Islam, apatah lagi di akhir zaman yang penuh dengan fitnah dan cabaran.

Bahkan, seorang atau beberapa orang alim yang bercanggah dengan para ulamak yang majoriti di akhir zaman ini tidak sama perselisihan ulamak masa lampau.

(2)     Di hujung Hadis tersebut menceritakan situasi ketiadaan jamaah. Atau situasi beramai-ramai meninggalkan jamaah. Situasi beramai-ramai menolak kebenaran.

(3)     Ibnu Qayyim al Jauziyyah menukilkan kalam Abdullah Ibn Mas’ud di dalam إعلام الموقعين عن رب العالمين;



إن جمهور الجماعة هم الذين فارقوا الجماعة، الجماعة ما وافق الحق ولو كنت وحدك

“Sesungguhnya kebanyakan manusia itu keluar dari jemaah. Ketahuilah, jamaah itu apa yang selari dengan kebenaran sekalipun kamu berseorangan diri.”



(4)     Sekiranya majoriti orang bercanggah dengan kebenaran, maka seharusnya kita istiqamah kekal atas kebenaran itu. Apa yang dinyatakan ini selaras dengan apa yang disabdakan oleh Baginda S.A.W.

Islam mengajarkan konsep berpegang dengan kebenaran, sepertimana yang dinyatakan oleh para ulamak berdasarkan firman Allah S.W.T di dalam Surah Yunus ayat 35:



والحق أحق أن يتبع

“Dan kebenaran itu lebih berhak untuk diikuti.”



[1] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1236682499858554/HARAKAHDAILY 19/11/2019

- Advertisement -