PKS negara masih ketinggalan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelan Induk Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negara masih lagi ketinggalan dalam mencapai sasaran yang ditetapkan.

- Advertisement -

Ia berikutan, menjelang tahun 2020, kerajaan mensasarkan Pelan Induk untuk PKS mencapai sumbangan sebanyak 41 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 65 peratus daripada guna tenaga dan 23 peratus daripada jumlah eksport.

Berhubungan perkara tersebut, Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahudin Hashim bangkit meminta kerajaan menjelaskan halangan utama yang dihadapi oleh PKS untuk mencapai sasaran tersebut.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan mekanisme yang terdapat di bawah kementerian untuk membantu para usahawan PKS menembusi pasaran luar negara dan mencari pelabur yang strategik.

Katanya, hal ini supaya ia selaras dengan visi Pelan Induk PKS yang mahu mewujudkan lebih ramai PKS yang kompetitif di peringkat global.

“Saya juga ingin meminta pihak kementerian untuk memperincikan, apakah tindakan yang sedang diambil untuk mentransformasikan orientasi keusahawanan tradisional kepada orientasi keusahawanan digital?

“Berdasarkan kepada laporan Global Entrepreneurship Index 2018, Malaysia hanya mencatatkan markah terendah iaitu 9 peratus ‘Technology Absorption’ atau Penyerapan Teknologi. Ia menunjukkan tahap keusahawan Malaysia dalam ekonomi digital masih belum menggalakkan,” katanya.

Awang Solahudin Hashim

Beliau bangkitkan perkara tersebut ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2020 di peringkat Jawatankuasa Kementerian Pembangunan Usahawan di Dewan Rakyat hari ini.

Awang berkata, sumbangan PKS kepada KDNK negara hanya pada kadar 37 peratus pada tahun 2018 berbanding PKS Indonesia 56 peratus.

“PKS Indonesia jauh mendahului kita dalam menjana pekerjaan iaitu 97 peratus berbanding PKS Malaysia 66 peratus, malah kita ketinggalan di belakang Thailand yang berada pada kadar 80 peratus.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya kementerian lebih agresif untuk memberdayakan para usahawan PKS supaya dapat meningkatkan produktiviti serta merealisasikan objektif yang disasarkan. – HARAKAHDAILY 18/11/2019

- Advertisement -