KOMTAR bakal jadi mercu tanda PAS Pulau Pinang

    - Advertisement -

    KEPALA BATAS: Kompleks Tarbiyah PAS Negeri Pulau Pinang (KOMTAR) bakal menjadi mercu tanda perjuangan PAS Pulau Mutiara ini apabila siap dibangunkan kelak di Lot 2058, Pongsu Seribu, di sini.

    Akan dibina di atas tanah berkeluasan 2 ekar yang diwakafkan oleh Almarhum Abdullah Lebai Mat atau lebih dikenali sebagai Pak Njang Lah, kompleks ini bakal menempatkan pejabat pentadbiran PAS Pulau Pinang.

    - Advertisement -



    Untuk segera merealisasikan usaha tersebut, PAS Pulau Pinang telah mengadakan Majlis Makan Malam Dana Pembangunan KOMTAR Bersama Mursyidul Am PAS di Hotel Seri Malaysia, di sini malam tadi.

    Menariknya, program ini bukan sahaja dihadiri Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, tetapi juga para pimpinan parti politik dari Umno, MIC dan MU, NGO serta institusi pendidikan melibatkan pelbagai kaum.

    Mengagumkan sepertimana kata Tuan Guru Hashim, ia mewakili kemajmukan masyarakat negara ini serta keinginan kepada kehidupan untuk saling bersama, harmoni, sejahtera dan aman damai.

    Pengarah Pembinaan KOMTAR, Norazman Ishak yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang memaklumkan, urusan pindah milik tanah sejak 2017 telahpun selesai dan kompleks tersebut bakal dibina dengan kos tidak lebih RM15 juta.

    Menurut beliau, pada peringkat ini pihaknya telah selesai membuat senarai akhir arkitek dan konsultan-konsultan yang akan terlibat secara langsung sebagai pasukan pembinaan mercu tanda PAS Pulau Pinang itu.

    Sementara itu Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, pembinaan tersebut sebagai merealisasikan tuntutan perjuangan dakwah PAS dalam menyampaikan Islam kepada semua.

    Sehubungan itu katanya, PAS Pulau Pinang memerlukan markas yang lebih besar daripada sedia ada dan merakamkan penghargaan atas pengorbanan para As-Sabiqun terdahulu atas pembinaan markas sedia ada.

    Menurutnya, markas tersebut bakal berfungsi menjalankan pelbagai kegiatan parti selain persediaan ke ambang PRU15 serta impian ke arah melahirkan suasana baru dalam politik menerusi Muafakat Nasional.

    Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid dan juga penyampaian anugerah langganan Harakah terbanyak, keahlian teramai serta penyerahan borang permohonan keahlian Dewan Himpunan Pendukung PAS.

    Para dermawan yang berhasrat mengadakan sumbangan sebagai saham akhirat boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam 07043011031303 atas nama Kompleks PAS Pulau Pinang dengan rujukan ‘KOMTARP1000’.

    Sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan boleh hubungi Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim di talian 016-443 3205 atau Norazman (013-407 6770). – HARAKAHDAILY 18/11/2019

    - Advertisement -