Kemenangan di Tg Piai bukti PAS tidak rasis

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah hari ini melahirkan rasa bangga terhadap kemenangan luar biasa dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Perkara yang sangat penting dapat diperhatikan dalam Pilihan Raya Kecil ini ialah gabungan dan sokongan kuat daripada PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional dan semua komponen Barisan Nasional (BN).

Sokongan kuat daripada PAS terhadap calon MCA pada kali ini membuktikan dengan nyata bahawa PAS merupakan sebuah parti yang tidak pernah rasis.

Saya yakin ramai orang tertanya-tanya kenapa PAS menyokong MCA? Pada saya ia sangat mudah. Pertamanya, kawasan tersebut memang kerusi tradisi BN maka PAS atas semangat Piagam Muafakat Nasional akan mengiktiraf sesiapa sahaja calon yang diletakkan oleh BN.

Keduanya, PAS akan menghormati dan memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang menghormati agama Islam. Biarpun MCA meletakkan calon berbangsa Cina tetapi mereka menghormati dan tidak mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Islam.

Perlu dijelaskan bahawa Ta’awun Siyasi (kerjasama politik) PAS bukan hanya terbatas kepada Umno-BN sahaja tetapi terbuka kepada semua parti politik dengan syarat menghormati dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
18 November 2019- HARAKAHDAILY 18/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -