Kehebatan EPL: Menang sorak kampung tergadai

- Advertisement -

HAMPIR kesemua peminat bolasepak negara ini mengikuti perkembangan Liga Perdana Inggeris atau EPL dan mempunyai satu pasukan kegemaran.

- Advertisement -

EPL merupakan liga paling popular di dalam dunia bolasepak meninggalkan liga utama Sepanyol, La Liga dan liga utama Itali, Serie A. Perlawanan EPL dipancarkan kepada 212 negara dan wilayah di dunia atau kepada 643 juta isi rumah.

Bagaimanapun orang Inggeris tidak boleh berbangga dengan EPL. Memang benar ia menjana berjuta-juta pound setiap tahun tetapi kebanyakan kelab-kelab EPL tidak dimiliki oleh rakyat negara tersebut.

Walaupun dipanggil sebagai kelab bolasepak namun kelab-kelab itu adalah syarikat perniagaan. Ini bermakna sesiapa sahaja dengan dana yang mencukupi boleh menguasainya.

Dato’ Iskandar Abdul Samad

Dari 20 kelab, hanya 5 kelab yang dimiliki sepenuhnya oleh rakyat tempatan. Kelab-kelab lain dimiliki sepenuhnya atau sebahagian darinya oleh warga asing.

Juara musim lepas, Manchester City, dimiliki oleh City Football Group (CFG) yang dimiliki oleh Abu Dhabi United Group (ADUG). Pengerusi CFG adalah Khaldoon Al Mubarak seorang rakyat Emiriah Arab Bersatu ( UAE ).

Pendahulu liga sekarang, Liverpool, dimiliki oleh Fenway Sports Group milik rakyat Amerika Syarikat.

Chelsea pula dimiliki oleh Roman Abramovich, seorang jutawan dari Russia. Beliau juga memiliki kerakyatan Israel.

Kelab-kelab utama lain yang dikuasai oleh warga asing adalah Manchester United warga Amerika Syarikat, Arsenal juga warga Amerika Syarikat, Leicester City warga Thailand, Wolves warga Negara China dan Sheffield United warga Arab Saudi.

Akibat dana dari luar ini hanya beberapa kelab elit yang dapat bersaing untuk kejuaraan liga setiap musim. Enam kelab utama yang terdiri dari Liverpool, Manchester City, Manchester United, Chelsea, Arsenal dan Tottenham sentiasa berada di tempat yang paling atas. Susah bagi kelab-kelab lain untuk memecahkan monopoli mereka.

Zaman di mana sebuah kelab tiba-tiba muncul untuk mencabar kelab-kelab utama telah berlalu. Pada tahun-tahun 70an dan 80an kelab-kelab kecil seperti Nottingham Forest, Ipswich Town dan Derby County pernah muncul memberikan saingan dan ada yang menjadi juara.

Walaupun Leicester City pernah memenangi juara EPL pada musim 2015-16 namun mereka juga mendapat dana dari luar iaitu dari seorang jutawan Negara Thai. Saingan hari ini tidak terbuka seperti 20 tahun yang lalu. Hanya-hanya kelab yang dapat menarik dana asing yang banyak akan dapat bersaing.

Ada yang berkata ianya baik kerana dapat menjamin kualiti bolasepak yang tinggi dengan pemain-pemain terbaik dunia ditarik untuk bermain di dalam EPL.

Tetapi ada yang tidak bersetuju kerana ia tidak adil kepada kelab-kelab kecil tanpa dana yang banyak untuk bersaing. Kelab-kelab kecil seperti Norwich, Southampton dan Watford akan terus ketinggalan walaupun mereka dapat kekal di dalam EPL.

Persekutuan persatuan bolasepak Eropah, UEFA, mempunyai peraturan untuk menghalang kelab-kelab membelanjakan lebih dari pendapatan mereka iaitu UEFA Financial Fair Play Regulation. Walau bagaimanapun peraturan ini tidak sepenuhnya dapat menjamin persaingan yang lebih terbuka dan adil.

Orang Inggeris mungkin boleh berbangga dengan liga bolasepak yang menarik dan yang paling popular tetapi persaingan setiap musim hanya di kalangan 6 atau 7 kelab sahaja. Mereka juga bagai menang sorak kampung tergadai kerana kebanyakan kelab-kelab itu tidak dimiliki oleh warga tempatan.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 18/11/2019

- Advertisement -