Jumlah warga asing membimbangkan – MP Pendang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS membangkitkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kedaulatan negara apabila terdapat sejumlah besar warga asing yang masuk ke negara ini samada secara sah atau tidak.

- Advertisement -

Menurut Awang Solahudin Hashim (PAS-Pendang), terdapat sejumlah 42,000 orang warga asing yang diluluskan dibawah program Malaysia Rumah Keduaku.

“Seramai 2.1 juta pekerja asing yang ada di negara ini yang berdaftar berada dikawal oleh kerajaan dan 160,000 pelarian berdaftar. Jumlah ini adalah berdaftar mengikut saluran sah di sisi undang-undang.

“Namun kita juga berhadapan dengan masalah lebih besar apabila kemasukan secara tidak sah yang berkemungkinan terdapat perbuatan khianat, rasuah dan salah guna kuasa, contohnya dalam salah guna ‘pass social‘ sindiket MyKad palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bangkit mengutarakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri semasa sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, kes yang membabitkan sindiket penjualan MyKad palsu ini sangat serius yang memerlukan kepada tindakan tegas diberi.

“Namun, sehingga kini masih belum mendengar siapakah dalang sebenar yang telah dibicarakan dan dihukum berat. Belum dengar apa-apa tindakan.

“Apa jaminan kerajaan agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan mengheret semua pengkhianat ke muka pengadilan agar kedaulatan negara terus dipertahankan?” Soalnya.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Mohd Azis Jamman berkata, segala dokumen melibatkan kewarganegaraan akan melalui tapisan yang ketat dilakukan oleh pihaknya.

Mengulas tentang sindiket penjualan MyKad palsu katanya, sehingga kini pihak yang didakwa terlibat telah tangkap dan pendakwaan di mahkamah sedang berjalan. – HARAKAHDAILY 18/11/2019

- Advertisement -