Post-mortem: Kuantiti vs Kualiti

- Advertisement -

BILANGAN yang sedikit boleh menang

Pasca PRU14 perlu dipost-motermkan secara berfokus. Kita sedar bahawa PH menang sedangkan mereka tidak punya akar umbi. Apabila sudah menang, kalut nak cari ketua kampung.

Itu realitinya. Manakala PAS dan BN pula mempunyai akar umbi yang ramai. Tetapi boleh kalah. Realiti yang harus diperhatikan, di manakah silapnya?

Adakah demokrasi itu sudah ‘tersilap’?. Kita faham kalau gunakan sistem demokrasi, yang ramai menang, manakala yang sikit itu kalah. Ini sifirnya.

Bagaimana pula PH yang sikit itu boleh menang? Pernah tak kita mengkaji ayat al-Quran:

- Advertisement -



…….. كَم مِّن فِئَةࣲ قَلِیلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةࣰ كَثِیرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِینَ

“…… Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”

(al-Baqarah: 249)



Realiti ayat ini menceritakan mengenai kuasa Allah S.W.T memenangkan kumpulan yang sedikit mengalahkan kumpulan yang ramai. Bukannya nak menceritakan siapakah golongan sedikit itu.

Apabila kita meneliti bilangan PAS dan BN, kita dapati bilangan kita ramai, tetapi dikalahkan oleh kumpulan yang sedikit. Post-mortemnya, aqidah dan keyakinan kita bahawa ia adalah kuasa Allah S.W.T.

Sejauh mana demokrasi itu boleh bertahan? Dengan keluasan langit globalisasi yang terbuka, sepatutnya demokrasi itu sudah semakin tumpul.

Mungkin juga bukan salah demokrasi, tetapi persoalannya bagaimana kita perlu berdaya saing dalam memasarkan Islam di langit yang terbuka ini?

Kuantiti vs Kualiti

Sebelum ini saya ada menulis mengenai pasar idealogi. Yang menyaksikan kepada kita bagaimana realiti hari ini bukan lagi medan untuk tunjuk siapa kuat, tetapi medan untuk memasarkan idealogi.

Kita yakin dengan Islam, maka pasarkanlah Islam dengan teknik marketing yang hebat. Bukannya dengan hanya tahu mengkritik produk orang lain, tetapi kita sendiri tidak menghasilkan produk.

Apa yang perlu kita perhatikan, normal ahli gerakan Islam hari ini apabila melihat bilangan ahli yang ramai, terus mengandaikan kemenangan sudah berada di pintu.

Hakikatnya apa gunanya kalau bilangan ahli ramai, tetapi tak ramai yang ‘bermanfaat’? Perhatikan hadis Nabi S.A.W;



أحب الناس إلى الله أنفعهم للناس

“Manusia yang paling dikasihi oleh Allah ialah mereka yang paling bermanfaat untuk manusia”



Sebab itulah antara tanda akhir zaman, Nabi S.A.W berpesan bahawa Umat Islam akhir zaman itu ramai, tetapi umpama buih;



يوشك الأمم ان تداعى عليكم كما تداعى الأكلة إلى قصعتها  فقال قائل : ومن قلة نحن يومئذ؟ قال : بل أنتم يومئذ كثير , ولكنكم غثاء كغثاء السيل , ولينزعن الله من صدور عدوكم المهابة منكم وليقذفن الله فى قلوبكم الوهن  فقال قائل : يارسول الله وما الوهن ؟ قال : حب الدنيا وكراهية الموت

“Akan hampir seluruh umat manusia menyeru kamu sebagaimana diseru makanan ke bekasnya. Maka seorang berkata: Dan adakah disebabkan jumlah kami pada waktu itu menjadi sedikit?. Jawab Baginda: Bahkan jumlah kamu pada hari itu begitu ramai tetapi kami seperti buih seumpama buih air banjir. Dan akan dicabut daripada sanubari musuh kamu perasaan kagum terhadap kehebatanmu di samping Allah akan mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu. Maka seorang berkata: Wahai Rasulullah! Apakah penyakit wahan itu. Lalu sabda Baginda: Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.”



Demokrasi yang terikat dengan bilangan

Demokrasi mengajar kita untuk terikat dengan ‘bilangan’. Tetapi PRU14 menyaksikan bahawa bilangan itu bukan segala-galanya. Sebaliknya yang diutamakan dalam PRU14 adalah ‘penguasaan minda’.

PH bilangan mereka tak ramai, tapi mereka fokus kepada penguasaan minda. Tidak dinafikan, cara yang mereka lakukan bukan semuanya halal.

Menjaja fitnah sana sini di era Post Truth, memang sangat laku. Apabila kita lihat post-mortem dalam PAS sendiri, masih ada ahli yang sukar menerima ketetapan PAS.

Kerana apa? Kerana kita masih lagi kurang daya kebolehan menguasai minda ahli. Ini perlu dipost-mortemkan. Apabila PAS mengadakan pendekatan Muafakat Nasional, masih ada yang sukar nak terima.

Walau bagaimanapun usaha yang dilakukan oleh pimpinan insyaAllah diberi ganjaran di sisi Allah. Secara kasarnya, PAS sendiri masih belum mampu menguasai minda ahlinya.

Atau dengan kata lain, produk Islam yang dipasarkan oleh PAS masih ada ahli yang tidak membelinya, apatah lagi pasaran kepada orang luar?

Mungkin kita perlu lihat bagaimana persaingan idealogi yang dipasarkan di langit yang terbuka. Mungkin di sini punca kepada ‘kalahnya bilangan yang ramai’

Hadis yang saya lontarkan tadi berkenaan dengan Umat Islam diumpamakan sebagai buih, antara faktornya umat Islam mengalami krisis kualiti.

Post Moterm Imam Qurtubi

Di dalam Hadis yang saya lontarkan di atas menceritakan bagaimana Umat Islam diserang dengan penyakit cintakan dunia, dan takutkan mati.

Apabila Umat Islam yang ramai bilangannya, tetapi pakat cintakan dunia serta takutkan mati, maka Umat Islam hanya setaraf buih. Tidak ada kekuatan sekalipun bilangan mereka ramai.

Di dalam ayat al Quran Surah al-Baqarah ayat 249 yang saya nyatakan di awal tadi, Imam Qurtubi melontarkan post moterm terhadap Umat Islam di dalam tafsirnya.

Beliau menyatakan bahawa Umat Islam terhalang daripada mendapat kemenangan sebegini (iaitu bilangan yang kecil mengalahkan bilangan yang ramai) kerana dua sebab.

a-     Kelakuan yang buruk

b-     Niat yang tak betul

Bahkan beliau menyambung lagi menceritakan syarat-syarat kemenangan dan beliau menutup tafsirnya bagi ayat tersebut dengan;



فإنا لله وإنا إليه راجعون على ما أصابنا وحل بنا بل لم يبق من الإسلام إلا ذكره ، ولا من الدين إلا رسمه لظهور الفساد ولكثرة الطغيان وقلة الرشاد حتى استولى العدو شرقا وغربا برا وبحرا ، وعمت الفتن وعظمت المحن ولا عاصم إلا من رحم .

Maka sesungguhnya إنا لله وإنا إليه راجعون  terhadap apa yang kita alami dan rasai. Bahkan tidak kekal daripada Islam melainkan sebutannya, tiada berbaki daripada agama melainkan rasamnya, disebabkan zahirnya kerosakan dan banyaknya taghut, serta berkurangnya tunjuk ajar. Sehinggalah musuh menguasai Timur Barat, daratan dan lautan. Dan meluasnya fitnah, serta beratnya ujian. Tiada yang terselamat melainkan mereka yang dirahmati Allah.”



Post moterm Imam Qurtubi R.A terhadap Umat Islam yang tidak memperolehi kemenangan yang diceritakan oleh Allah S.W.T ‘bilangan yang sikit mengalahkan bilangan yang ramai’.

Kekurangan orang yang cerdik

Kita perlu yakin bahawa perjuangan PAS berada di atas landasan yang benar sepertimana yang digariskan oleh Islam. Antara faktornya ialah Jamaah ini mempunyai bilangan ulamak yang paling ramai.

Selaras dengan beberapa Hadis Nabi S.A.W mengenai jamaah. Cumanya mungkin dalam gerakan Islam kekurangan orang yang cerdik sepertimana post moterm daripada Fudhail bin Iyadh (105-187H);



العلماء كثير والحكماء قليل، وإنما يراد من العلم الحكمة، فمن أوتي الحكمة فقد أوتي خيرا كثيرا

“Ulamak itu ramai, tetapi orang bijaksana itu sedikit. Apa yang diinginkan daripada ilmu itu ialah kebijaksanaan. Maka sesiapa yang diberikan kebijaksanaan, sesungguhnya dia telah diberikan dengan kebaikan yang banyak.”



Dalam Islam mengajar umatnya supaya jelas matlamat perjuangannya. Bukan berjuang semata-mata ikut orang. Perkara ini juga telah dipost-motermkan oleh Syeikh Yusof al Qaradawi;



إذا كان العلم مطلوبًا للقضاء والفتوى، فهو مطلوب كذلك للدعوة والتربية. فقد قال الله تعالى لرسوله: {قُلۡ هَٰذِهِۦ سَبِيلِيٓ أَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِي}

“Sekiranya ilmu itu diperlukan untuk kehakiman dan fatwa, maka ia juga dituntut untuk dakwah dan tarbiah. Sesungguhnya Allah S.W.T berfirman,

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

(Yusuf: 108)



Apa gunanya ramai pengikut, tetapi ramai yang tidak tahu matlamat perjuangan? Masih ramai yang ikut cara Barat sehingga menghalalkan apa jua cara demi mengejar matlamat? – HARAKAHDAILY 17/11/2019

- Advertisement -