Mahasiswa diseru bersiap laksana Kerajaan Teknokrat

    - Advertisement -

    KUALA KANGSAR: Mahasiswa dan mahasiswi adalah generasi masa hadapan yang boleh diharap untuk menjayakan Kerajaan Teknokrat mengikut kepakaran masing-masing.

    - Advertisement -

    Sudah pastinya ciri teknokrat diharapkan itu adalah yang mencontohi zaman Rasulullah SAW dengan menjadikan pemerintahan Islam Memimpin berpandukan acuan Allah S.W.T dan petunjuk Al-Quran.

    Perkara tersebut dimartabatkan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin dalam Bicara Qiadi di Ijtimak Tarbawi 7.0 di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini semalam.

    “Gunakan saluran Islam untuk laksanakan Islam, lebih-lebih lagi kini dalam situasi perang persepsi. Pemuda pemudi PAS mesti terkehadapan dalam merungkai permasalahan negara.

    “Amanat saya buat para mahasiswa-mahasiswi, pertamanya belajar kena rajin, keduanya mestilah banyak membaca terutama berkaitan situasi semasa agar sentiasa bersedia.

    “Dan ketiganya pesanan Tuan Guru Presiden, pergilah ke mana-mana medan kerjaya tetapi apabila dipanggil untuk berkhidmat kepada PAS, segera kembali bertugas demi Islam,” ujarnya.

    Beliau turut mencadangkan agar pihak PTPTN mempertimbang pelaksanaan tawaran pertukaran pinjaman menjadi biasiswa kepada graduan yang mencapai kelas kedua disamping graduan kelas pertama.

    Kata beliau, ianya sekaligus mengecualikan bayaran balik pinjaman kerana dilihat menjadi beban kepada anak muda yang baru memulakan kehidupan dengan kos sara hidup tinggi. – HARAKAHDAILY 17/11/2019

    - Advertisement -