Bezakan diri dari hamba dinar, sutera dan pakaian

    - Advertisement -

    KUALA KANGSAR: Para pejuang Harakah Islamiyah mesti mempunyai sistem hidup Muslim yang berbeza daripada Musyrik, demikian peringatan diberikan Ketua Ulamak PAS Negeri Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

    - Advertisement -

    Hal tersebut dibentangkan beliau dalam slot Bicara Murabbi: ‘Politik – Usul atau Furu’ Akidah?’ dalam Ijtimak Tarbawi 7.0 Pemuda PAS di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini semalam.

    Jelasnya, seorang Musyrik menilai dunia secara materialistik, sedangkan pandangan seorang Muslim melangkaui persoalan keimanan daripada syurga dan neraka berdasarkan wahyu yang dibawa Rasulullah S.A.W.

    Menurutnya, sifat duniawi orang Musyrik sesuai dengan kedatangan Dajjal yang mengaku Tuhan, bertentangan usaha para ulamak menerusi Harakah Islamiyah melahirkan tanzim menentang pemikiran dan akhlak Musyrik.

    Lantaran itu katanya, tidak hairanlah apabila jamaah ini diserang habis-habisan supaya masyarakat jangan mendekati Harakah Islamiyah, sekali gus menuntut pejuangnya jangan meninggalkan al-Quran dan pedoman Rasulullah.

    Tegasnya, tidak patut wujud pertentangan pada cara berfikir dan menilai seorang Muslim dalam usaha mencapai kejayaan dan matlamat di mana wajib meletakkan sepenuh sandaran kepada Allah dalam usaha dan iktikadnya.

    “Keimanan yang sebenar akan melahirkan manusia yang merendah diri, malu, beradab dan berjaga-jaga terhadap Tuhannya sama ada manusia itu pemimpin, pengajar atau pendakwah,” ujarnya menggambarkan sosok itu.

    Tuan Guru turut mencela golongan-golongan yang menjadi hamba kepada dinar, sutera dan pakaian, sedangkan akidah Islam itu akan mendidik pejuangnya sentiasa mengambil berat terhadap hukum dan peraturan Allah.

    “Cita-cita menegakkan syariat adalah bertolak dari keimanan mereka (para pejuang Islam), kalau nak kerusi, baik jadi sekular. Baik ikut liberal. Lantaran mereka yakin tiada keberkatan, kejayaan mahupun makna hidup ini apabila meninggalkan syariat Allah.

    “Jangan dengar suara Iblis dan syaitan yang berbicara seputar ‘good governance’ dan ‘bagi rakyat cukup makan sahaja’ kerana ini datang dari mereka yang terpengaruh dengan ideologi Barat dan penghakisan iman,” pandu beliau.

    Jelasnya, hati Muslim yang mengagungkan dalam segenap pemikirannya dan berusaha mentuluskan hidup dengan pengabdian kepada Allah yang tidak memandangan rupa dan harta, tetapi ketulusan hati dan amal.

    “Mereka (golongan beriman) tidak akan sesekali merasa takut dan bimbang, bahkan semakin berani dan tidak berputus asa apabila berhadapan dengan ujian material.

    “Di tangan mereka itulah, Islam dikumandangkan tanpa gerun. Ia adalah konsep aqliyah(pemikiran) yang dibentuk oleh mereka dengan bersandarkan landasan syarak,” ujarnya menyuntik motivasi. – HARAKAHDAILY 17/11/2019

    - Advertisement -