Tafsir Perlembagaan secara salah gugat kedaulatan

    - Advertisement -

    KUALA KANGSAR: Islam sedang digugat dari tindakan pihak tertentu untuk mentafsir kedudukannya di dalam Perlembagaan Negara dengan membuka kekeliruan dalam kalangan rakyat.

    - Advertisement -

    Setiausaha Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mohd Asri Mat Daud mendedahkan, penganjuran Forum Naratif Malaysia Baharu di sebuah gereja Kota Damansara telah merumuskan hal itu secara bahaya.

    Perkara tersebut dibangkitkan beliau dalam slot Wacana Tarbawi: ‘Piagam Madinah Model Penyatuan Ummah’ pada Ijtimak Tarbawi 7.0 Pemuda PAS di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini hari ini.

    Jelasnya, Perkara 11 Perlembagaan Negara berkenaan kebebasan amalan agama telah dikelirukan, sedangkan di bawah peruntukan sama terdapat sekatan menyebar doktrin ajaran lain kepada orang Islam.

    Menurut beliau, pihak-pihak berkenaan telah membawa tiga tafsiran di bawah peruntukan tersebut iaitu pertama, rakyat Malaysia boleh menganut mana-mana agama secara bebas mengikut pilihannya.

    Kedua senarai beliau, boleh untuk tidak menganut mana-mana agama atau menjadi Atheis; tidak mahu ada Tuhan, dan ketiga, boleh keluar masuk agama sewenang-wenangnya.

    Sehubungan itu ujar Ustaz Asri, ramai pihak telah tampil membuat laporan polis terhadap perbincangan forum tersebut kerana ianya mencabar kedaulatan Perlembagaan dan cuba meruntuhkan institusi Islam.

    Apatah lagi pihak berkenaan juga kata beliau, cuba meletakkan Perkara 3 Perlembagaan yakni Islam sebagai Agama Persekutuan sebagai tidak mengatasi yang lain terutama Perkara 11 tersebut.

    “Kalau nak amal agama, itu, silakan. Nak bina gereja, silakan. Tapi jangan kamu sebar kitab kamu, fahaman kamu, doktrin kamu (kepada Muslim atau sebaran terbuka).

    “Ini tidak boleh dan bercanggah yang menyalahi Perlembagaan dan boleh diambil tindakan undang-undang,” ujarnya yang turut mendedahkan gejala murtad secara terselindung.

    Malah, ketika sama pihak tersebut maklumnya, menyuarakan untuk mewujudkan Malaysia sebagai The Kingdom of God merujuk sebagai negara Kristian Raya yang tentunya menghancurkan kedaulatan Islam.

    Tegasnya lagi, selaku warganegara yang patuh kepada piagam negara yakni Perlembagaan Malaysia, tidak boleh membantu atau membela pelaku kejahatan sebagaimana kes dakwaan cenderung pada LTTE.

    Hal tersebut jelas beliau, menyamai perbuatan khianat kepada negara yang mesti diambil tindakan. – HARAKAHDAILY 16/11/2019

    - Advertisement -