Scammer dalam dunia politik

- Advertisement -

TIPU + Duit = Scammer

Sebelum ini saya pernah menulis beberapa artikel mengenai Kapitalism dan Sosialism. Kali ini kita berbincang lagi bab yang berkaitan dengan kewangan, iaitu scammer.

Dalam kamus Cambridge, ‘scammer’ bermaksud: someone who makes money using illegal methods, especially by tricking people.

Jadi, dalam takrifan scammer ini ialah mempunyai dua perkara utama, iaitu ‘tipu’ dan ‘duit’. Apabila ada dua unsur ini, pastinya menjadi panas.

a-     Global Protest di seluruh dunia pada hari ini rata-rata menimbulkan masalah rasuah, dasar kewangan tak adil, politik wang dan sebagainya.

b-     Penentangan Sosialism terhadap Kapitalism antara sebabnya ialah penipuan yang legal, dalam bentuk penindasan ekonomi.

c-     Di Malaysia, BN yang memerintah puluhan tahun dijatuhkan atas dua perkataan ini. Sedangkan PH yang menggantikan BN juga lebih kurang sama.

d-     Imperialism Barat menjajah negara-negara lain dari dulu hingga ke hari ini, salah satu faktor utamanya adalah merembat kekayaan negara tersebut.

Dan banyak lagi perkara-perkara yang sensitif dengan dua unsur ini. Unsur penipuan era Post Truth ini cukup segar. Hatta di dewan Parlimen pun penipuan boleh berlaku.

Ahli politik yang menipu

(1)     Ya kita biasa mentakrifkan scammer itu penipuan dalam kewangan. Bagaimana pula kalau kita tafsirkan scammer itu sebagai penipuan dalam politik?

Perbincangan ini agak hangat pada Oktober 2018 di beberapa buah negara khususnya US. Kalau penipuan itu berkaitan dengan duit, ia jadi panas.

Akan tetapi jika penipuan itu berkaitan dengan politik, ia tidak berapa panas. Ini kerana rata-rata masyarakat menganggap ia adalah strategi politik.

(2)     Tetapi ahli politik yang beragama Islam ada  yang gunakan penipuan atas nama ijtihad politik. Dilapik dengan istilah helah, dan disandarkan pula dengan Hadis Nabi S.A.W.

Hakikatnya tipu tidak pernah diharuskan oleh Nabi S.A.W yang bersifat benar. Bahkan kecaman terhadap penipu memang banyak sandarannya.

a-     Sebelum Nabi S.A.W mendapat wahyu kenabian, Baginda S.A.W dikenali sebagai seorang yang jujur. Digelar sebagai al Amin (amanah).

b-     Apabila ada ahli politik Islam dikenali sebagai penipu, bagaimana pula kita dapat lihat orang itu meneruskan manhaj perjuangan Rasulullah S.A.W? Baginda S.A.W bersabda;

- Advertisement -



عليكم بالصدق فإن الصدق يهدى إلى البر وإن البر يهدى إلى الجنة وما يزال الرجل يصدق ويتحرى الصدق حتى يكتب الله صديقا وإياكم والكذب فإن الكذب يهدى إلى الفجور وإن الفجور يهدى إلى النار وما يزال الرجل يكذب ويتحرى الكذب حتى يكتب الله كذابا

“Berpeganglah kamu kepada kejujuran, kerana kejujuran akan membimbing kepada kebaikan, dan kebaikan pula akan membimbing kepada syurga. Sentiasa seorang hamba berbuat jujur dan membiasakan diri dengan sifat ini hingga dia dicatat oleh Allah sebagai orang yang jujur. Berhati-hatilah kalian akan penipuan, kerana menipu itu akan membimbing kepada kecurangan, dan kecurangan itu akan membimbing kepada neraka. Sentiasa seorang hamba itu menipu dan membiasakan diri dengan menipu hingga Allah mencatatnya sebagi penipu.”



Scammer dari kalangan ahli politik

(1)     Apabila kita meneliti kes-kes scammer, penipuan berbentuk duit, kita akan dapati masing-masing terdesak untuk melakukan apa saja demi mencari duit.

Scammer boleh jadi kaya ke? Jika kita lihat pula kepada situasi ahli politik, scammernya lebih membahayakan dan lebih berganda keuntungannya.

(2)     Sebagai contoh, seseorang yang asalnya tidak berduit. Lalu bergiat mencari pengaruh, jual maruah, gadai prinsip dan sebagainya sehingga menang dalam politik.

Kemenangan dalam politik bermaksud kuasa. Maka, apabila berkuasa, ahli politik itu berkuasa untuk menetapkan undang-undang yang mengkayakan dirinya serta kroninya.

Apabila ada syarikat-syarikat yang berebut projek, mudah saja, hanya dengan mengenakan rasuah, ahli politik ini sekelip mata boleh jadi kaya.

Kemudian ahli politik yang sudah terbiasa menggadaikan prinsip akan lebih mudah meluluskan projek. Asalkan ada ‘duit poket’nya.

(3)     Sebab itu ‘duit’ adalah bisa yang membunuh. Disebabkan duit, sanggup bergadai maruah dan prinsip untuk mengejar kepentingan politik. Disebabkan duit, sanggup menipu sana sini.

Justeru kita perlu fahami bahawa scammer dalam politik lebih dahsyat berbanding scammer duit yang terpaksa bersusah payah gunakan cara belakang dan menyorokkan diri.

Matlamatnya sama, iaitu duit. Bermodalkan air liur, mereka menipu sana sini. Apabila sudah punyai kuasa, mereka mudah untuk buat duit. Hanya perlu gadaikan prinsip.

Unsur scammer dalam guaman

(1)     Masyarakat menunding jari, syarikat ini scammer, talian telefon itu scammer, projek sana scammer dan macam-macam lagi. Tetapi apabila ahli politik terang-terang melakukan scam, sangat sukar nak cegah.

Kerana mereka itu berkuasa dan adanya peguam-peguam yang membela kesalahan asalkan ada duit. Ya, itulah realiti dunia guaman.

Cuba bayangkan,

a-     Orang yang diyakini bersalah, tetapi kaya. Dengan duit yang ada, dia boleh bayar peguam untuk melindunginya secara rasmi. Secara tak rasmi dia boleh suap hakim mahkamah.

Maka, orang yang berduit akan selamat daripada mahkamah, hukuman dan perbicaraan. Diselamatkan oleh peguam yang dibayar.

b-     Orang yang tak berduit, tetapi tidak bersalah. Didakwa melakukan kesalahan. Tiada duit untuk bayar peguam untuk melindunginya. Nak suap hakim apatah lagi.

Maka orang yang tak berduit mudah dipersalahkan, dan mudah dijatuhkan hukuman. Inilah realiti hari ini. Apabila duit itu merupakan segala-galanya.

(2)     Sebab itulah peguam antara orang yang berisiko menjadi scammer. Iaitu menerima duit bayaran, untuk mempertahankan kejahatan seseorang.

Melainkan peguam-peguam yang masih ada jati diri, berpegang dengan prinsip, tidak menjual maruah dan teguh atas dasar Islam. Insya Allah itulah yang menjaga dirinya.

Menipu untuk survival politik

(1)     Di dalam al-Quran menceritakan golongan scammer yang hidup di zaman Nabi Musa A.S. Mereka ialah tukang sihir Firaun. Tukang sihir ditafsirkan oleh para Ulamak sebagai penipu.

Allah S.W.T berfirman di dalam Surah al A’raf ayat 111-114;



قَالُوۤا۟ أَرۡجِهۡ وَأَخَاهُ وَأَرۡسِلۡ فِی ٱلۡمَدَاۤىِٕنِ حَـٰشِرِینَ ۝  یَأۡتُوكَ بِكُلِّ سَـٰحِرٍ عَلِیمࣲ ۝  وَجَاۤءَ ٱلسَّحَرَةُ فِرۡعَوۡنَ قَالُوۤا۟ إِنَّ لَنَا لَأَجۡرًا إِن كُنَّا نَحۡنُ ٱلۡغَـٰلِبِینَ ۝  قَالَ نَعَمۡ وَإِنَّكُمۡ لَمِنَ ٱلۡمُقَرَّبِینَ

“Mereka berkata: “Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir); (111) “Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir” (112) Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: “Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?” (113) Firaun menjawab: “Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) dari orang-orang yang damping (denganku)” (114)”



(2)     Tukang sihir adalah penipu, iaitu menipu pandangan mata. Tukang sihir Firaun melemparkan tali-tali mereka sehingga berbentuk ular, sedangkan ia adalah tipu semata mata:



وَأَلۡقِ مَا فِی یَمِینِكَ تَلۡقَفۡ مَا صَنَعُوۤا۟ۖ إِنَّمَا صَنَعُوا۟ كَیۡدُ سَـٰحِرࣲۖ وَلَا یُفۡلِحُ ٱلسَّاحِرُ حَیۡثُ أَتَىٰ

“Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada”

(Taha: 69)



(3)     Di dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa penipuan sihir yang dilakukan oleh Tukang Sihir Firaun, bertujuan untuk mendapatkan kedudukan politik. Iaitu menjadi kroni kepada Firaun berdasarkan ayat 114 Surah al A’raf.

Tawaran kedudukan politik mungkin dilihat lebih lumayan berbanding tawaran harta sepertimana yang saya nyatakan tadi mengenai scammer dari kalangan ahli politik.

Penipuan sememangnya sinonim dengan duit. Ruang sebagai ahli politik untuk menipu itu lebih luas berbanding rakyat biasa. Justeru, masing-masing akan gilakan kuasa politik demi sekeping duit.

Tajaan musuh dan perbahasan syariah

(1)    Hari ini kita berdepan dengan pelbagai istilah-istilah penipuan seperti Hoax, Post Truth, Post Islamism, Populism dan banyak lagi. Semuanya hampir senada.

Kesemuanya menipu. Sama ada bermatlamatkan duit, atau bermatlamatkan pengaruh. Jika mereka mengejar pengaruh, sejarahnya hampir sama dengan Tukang Sihir Firaun yang diceritakan tadi.

(2)     Selama ini kita mungkin hanya lihat penipuan itu dalam bentuk manipulasi media. Tetapi apabila kita terjun ke lembah realitinya kita akan dapati bahawa penipuan itu dimanipulasi dengan duit suapan.

Contohnya apa yang pernah saya tulis sebelum ini bahawa National Endowment Of Democracy (NED) dikatakan menaja parti pembangkang di Malaysia sejak 2002.

Penajaan-penajaan seperti inilah yang membawa kepada kesanggupan menipu prinsip sendiri. Atau dengan kata lain, menggadaikan prinsip kerana duit.

(3)     Duit memang berbisa. Dalam feqah banyak juga berbicara soal duit dalam kepentingan politik. Yang saya temui, antaranya dalam bab kehakiman, hibah dan lain lain.

Hakim dilarang dalam Islam menerima hadiah. Kerana bimbang terhutang budi, lantas mengganggu psikologi hakim tersebut untuk membuat keputusan. Begitu juga dalam bab rasuah:



وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتُدۡلُوا۟ بِهَاۤ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُوا۟ فَرِیقࣰا مِّنۡ أَمۡوَ ٰ⁠لِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(al-Baqarah: 188)



(4)     Di dalam tasawwuf, banyak juga berbincang bab duit dan kuasa politik. Antaranya larangan para Ulamak menyendeng di pintu-pintu pemerintah, menggadaikan prinsip-prinsip agamanya.

Thalut dan Nabi Musa A.S

Saya lebih suka gunakan istilah scammer dengan maksud ahli politik yang menipu. Scammer berasaskan kepada dua unsur, iaitu unsur duit dan penipuan sepertimana yang saya nyatakan di awal tadi.

Scammer wujud dalam perniagaan dan juga dalam politik. Cumanya scammer dalam bidang politik jauh lebih menguntungkan, dan lebih ‘selamat’ berbanding scammer perniagaan.

(1)     Di dalam al-Quran melakarkan bagaimana kisah Thalut seorang yang ‘low profile’ dipilih sebagai pimpinan Bani Israel. Lantas pilihan Allah itu ditentang kerana tiada kekayaan;



وَقَالَ لَهُمۡ نَبِیُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكࣰاۚ قَالُوۤا۟ أَنَّىٰ یَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَیۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ یُؤۡتَ سَعَةࣰ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَیۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةࣰ فِی ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ یُؤۡتِی مُلۡكَهُۥ مَن یَشَاۤءُۚ وَٱللَّهُ وَ ٰ⁠سِعٌ عَلِیمࣱ

“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.”

(al-Baqarah: 247)



(2)     Dalam al-Quran juga menceritakan bagaimana kempen Firaun kepada rakyatnya untuk memburukkan Nabi Musa A.S. Juga bermodalkan isu duit dan kekayaan;



فَلَوۡلَاۤ أُلۡقِیَ عَلَیۡهِ أَسۡوِرَةࣱ مِّن ذَهَبٍ أَوۡ جَاۤءَ مَعَهُ ٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةُ مُقۡتَرِنِینَ

“(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi mengenai kebenarannya)?”

(Zukhruf: 53)



(3)     Justeru, apabila kita membaca sejarah golongan terdahulu, kita dapat simpulkan bahawa;

a-     Bani Israel dan Pengikut Firaun menggunakan logik saya sama. Iaitu mereka yang tidak punyai kekayaan tidak patut menjadi pemerintah. Seolah-olah syarat menjadi ahli politik itu adalah duit.

b-     Kita boleh lihat bagaimana idealogi golongan terdahulu yang terpengaruh dengan ‘duit adalah segala galanya’. Seolah-olah tanpa duit, kuasa politik akan terjejas.

c-     Hakikatnya, pembesar Bani Israel yang menolak pelantikan Thalut dan Firaun menolak dakwah Nabi Musa A.S, kedua duanya berkempen dengan cara menipu atas alasan duit (scammer). – HARAKAHDAILY 16/11/2019

- Advertisement -