Jangan banding didikan ibu bapa, betul diri sendiri

    - Advertisement -

    KUALA KANGSAR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz menyingkap resepi tarbiyah dan didikan yang beliau peroleh daripada ayahanda dan bondanya sejak kecil.

    - Advertisement -

    “Sebenarnya apa yang Ustaz terima (didikan) dari ayahanda dan bonda adalah sama seperti seluruh masyarakat yang lain di mana Ustaz diterapkan dengan kepentingan memiliki fahaman agama dalam kehidupan,” ujarnya.

    Perkongsian tersebut disampaikannya dalam Forum Tarbawi Mantan Ketua Pemuda PAS Malaysia pada Ijtimak Tarbawi 7.0 di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini petang tadi.

    Mengimbau didikan ayahandanya yang pernah menjawat jawatan sebagai Mursyidul Am PAS, Ustaz Nik Abduh menyatakan peribadi Tok Guru adalah sangat tegas dan digeruni oleh beliau dan sembilan adik-beradiknya yang lain.

    “Tok Guru ni, garang. Bila sekali Tok Guru sebut ‘Abduh’ , Ustaz hingga takut nak lihat wajah dia (Tok Guru),” kongsinya ringkas mengenai peribadi Tok Guru yang berjaya mendidik beliau menjadi seorang Amilin PAS pada hari ini.

    Beliau yang juga mantan Ketua Pemuda PAS Malaysia menjawab soalan moderator, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden menekankan bahawa, setiap anak tidak boleh membandingkan didikan ibu bapa mereka berbanding orang lain.

    “Ini kerana, setiap ibu bapa mempunyai pendekatan yang tersendiri dan proses membentuk peribadi anak-anak itu tidak boleh dipertikai atau di bandingkan dengan ibu bapa lain. Dalam mendidik anak-anak ini, sebenarnya Rasulullah telah meletakkan garis panduan yang perlu dicontohi oleh ibu bapa dalam usaha mendidik anak-anak.

    “Jadi jangan bandingkan mak ayah kita dengan mak ayah orang lain. Apa yang perlu adalah kita membetulkan diri kita sendiri,” nasihatnya kepada sekitar 5,000 peserta yang setia mengikuti program tarbiyah ini.

    Pun begitu, ulasnya kemenjadian seseorang amilin itu juga bergantung kepada sejauh mana diri sendiri meletakkan kepentingan menyertai jemaah itu dalam kehidupan, bukan hanya dari didikan ibu bapa semata-mata. – HARAKAHDAILY 16/11/2019

    - Advertisement -