Gerak kerja PAS juga perlukan kemahiran Muslimat

    - Advertisement -

    KUALA KANGSAR: Dewan Muslimat PAS Malaysia merupakan sayap penting PAS bagi mencapai visi menerajui gerakan wanita yang perjuangkan kesejahteraan individu, keluarga, masyarakat dan negara serta melaksanakan kefahaman nilai hidup menuju redha Allah.

    - Advertisement -

    Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor berkata sedemikian dalam slot Forum Tarbawi 3 Dewan di pentas Ijtimak Tarbawi 7.0 yang bakal melabuhkan tirainya pada tengah malam ini.

    Beliau yang juga merupakan Ketua Muslimat PAS Pahang turut menekankan mahawa misi gerakan Muslimat ini adalah membina amilin dan kepimpinan AKIFI dengan sistem pentarbiyahan dan pengurusan profesional.

    “Di dalam Dewan Muslimat PAS ini, kita bukan mempunyai ahli dari golongan ibu-ibu sahaja, kita turut meraikan peranan muslimat muda yang berperanan di posisi masing-masing antaranya Nusaibah, Ameerah dan Briged Muslimat,” perkenalnya.

    Mengulas mengenai tenaga muslimat muda, Ustazah Salamiah menekankan keperluan kebersamaan dan mengalukan mereka untuk sama-sama meneruskan usaha dalam gerak kerja yang telah dirancang di setiap Negeri, Kawasan mahupun Cawangan.

    Menurutnya, pembawaan Muslimat adalah ingin melahirkan amilat yang sangup berkorban masa, tenaga dan harta benda untuk gerakan jemaah.

    Oleh itu, muslimat muda serunya, dipelawa agar sama-sama turun padang dan bekerja untuk menyampaikan Islam pada masyarakat melalui wadah politik ini.

    “Lajnah Tarbiyah Muslimat telah menggerakkan konsep Muslimat AKIFI bermula pada tahun 2015. Ini membuktikan pentingnya seluruh jentera faham hakikat sebenar keperluan jemaah yang mesti memahami Islam secara menyeluruh,” katanya.

    Terang beliau, Muslimat bukan sahaja memerlukan pengetahuan agama yang tinggi, namun juga hendaklah memanfaatkan ilmu tersebut melalui turun ke lapangan ummah dan berkongsi fahaman kepada masyarakat.

    Ustazah Salamiah juga menyatakan hasrat Dewan Muslimat yang ingin membina amilin sufi iaitu mempunyai hubungan sangat rapat dengan Allah.

    “Tamrin Qiyadi yang diperkenalkan oleh Dewan Muslimat bertujuan memperkukuh kefahaman mengenai pentingnya fikrah dalam perjuangan PAS.

    “Kita hendaklah merayu dan merintih kepada Allah supaya segala gerak kerja yang berat dan susah payah kita diberi pertolongan oleh-Nya. Kita juga hendaklah sentiasa memohon pada Allah agar mudah menembusi hati mereka (mad’u) yang keras dan sukar untuk menerima dakwah.

    “Bagi memanfaatkan kekuatan fizikal dan mental golongan muda, marilah gerakkan jemaah ini dengan menggunakan kemahiran yang telah diberikan oleh Allah dalam diri masing-masing,” tambahnya.

    Beliau juga mengajak golongan muslimat muda mengambil ibrah Asma Abu Bakar yang memiliki jiwa yang kental bagi mendokong perjuangan Rasulullah meskipun berisiko untuknya kerana sentiasa dalam pantauan golongan kafir Quraisy.

    “Persiapkan diri kita untuk gunakan kesihatan, kemahiran, dan kelebihan masing-masing untuk masa depan ummah,” tegasnya dalam mengakhiri ucapan mewakili Dewan Muslimat PAS Malaysia. – HARAKAHDAILY 16/11/2019

    - Advertisement -