PH perlu keluar k’jaan, serah mandat pada rakyat

- Advertisement -

WALAUPUN rakyat di seluruh negara terutamanya di negeri Perak mengetahui keretakan yang berlaku dalam Kerajaan PH Perak, namun PH Perak lebih gemar mengambil langkah selamat dengan menafikannya.

- Advertisement -

Namun, disebalik itu terdedah ‘perlawanan’ terbuka sesama mereka dan terbaru tuduhan audio tukar baju untuk gulingkan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu yang masih menerajui kerajaan.

Episod penafian bagaimanapun terbongkarnya usaha yang dilakukan oleh individu tertentu dalam Kerajaan PH Perak untuk ‘membeli’ Adun-adun Pembangkang bagi menggulingkan Ahmad Faizal selaku Menteri Besar. Namun jelas usaha itu tidak berjaya dan gagal.

Sebelumnya tersebar audio yang jelas perancangannya untuk menjatuhkan Menteri Besar, namun sekali lagi dinafikan oleh Aziz Bari selaku orang yang dikatakan pemilik suara tersebut pada April 2019. Mereka mendakwa sebaran audio tersebut bersifat tidak kukuh dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam era ini.

Meskipun berlaku percakaran yang jelas antara mereka, namun kebanyakkannya mengambil jalan selamat demi kepentingan survival masing-masing, sementara kuasa kerajaan negeri masih ditangan.

Sehinggalah Ahmad Faizal sendiri mengaku terbuka bahawa beliau bersendirian dalam menghadapi ancaman dan tekanan daripada DAP demi mempertahankan maruah Melayu dan Islam.

Natijahnya beliau memperoleh gelaran munafik dan tidak layak menjadi Menteri Besar daripada Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador, manakala Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh pula berkata kenyataan itu sangat memalukan dan bercanggah dengan permuafakatan dalam PH.

PH Perak boleh diumpamakan “tidur sepakatan, tetapi mimpi dan angan-angan berbeza”, mereka tidak mempunyai titik persamaan.

Terkini tersebar pula video secara terang-terangan bahawa wujud usaha untuk menyingkirkan Ahmad Faizal. Tambahan pula kritikan yang diberi menempelak pimpinan daripada PAN iaitu Mohammed Nizar Jamaluddin dan Asmuni Awi. Nizar dan Asmuni dikatakan tidak sesuai dan layak untuk menduduki kerusi MB kerana yang layak hanyalah ‘dia’ dari DAP.

PH Perak perlu segera dikeluarkan daripada terus memimpin Kerajaan Negeri kerana perlawanan dan pertembungan politik dalam kalangan sendiri telah menunjukkan bahawa mereka tidak pernah serius menyelesaikan masalah rakyat.

Sebaliknya lebih gemar berebut kuasa dan pangkat serta berkejar mahu menjadi Menteri Besar dan Perdana Menteri. Jika di peringkat Persekutuan, jawatan PM menjadi rebutan antara PKR dan BERSATU, demikian juga di Negeri Perak perebutan berlaku antara DAP dan BERSATU.

Percakaran yang wujud ini sememangnya memualkan dan membimbangkan rakyat yang melihat suasana Kerajaan Perak sangat tidak stabil pada hari ini. Jawapan paling berkesan adalah kembalikan semula kuasa kepada rakyat untuk rakyat buat pilihan  kerajaan baru demi suasana politik yang lebih stabil akan wujud di Negeri Perak. Pastinya DAP adalah punca kepada segala kacau bilau yang berlaku kepada kerajaan Negeri Perak ketika ini.

HAFEZ SABRI
Ketua Penerangan PAS Perak – HARAKAHDAILY 15/11/2019

- Advertisement -