PAS tidak pernah konsisten, perguna dalil agama?

    - Advertisement -

    KUALA KANGSAR: PAS sememangnya menggunakan nas agama yang menjadi dalil dalam membenarkan setiap tindakan diambil oleh parti ini, demikian diakui Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Negeri Pahang, Ustaz Hazmi Dibok.

    - Advertisement -

    Perkara itu ‘didedahkan’ beliau dalam Pidato Tarbawi: ‘Tarbiyah Memacu Perpaduan Ummah’ pada Ijtimak Tarbawi 7.0 Pemuda PAS Malaysia di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini sebentar tadi.

    Ianya sebagai menjawab pertikaian dan serangan pihak tertentu yang menuduh PAS tidak konsisten di mana asyik berubah-ubah tindakan serta menghalalkan segala langkah dengan bersandarkan hujah agama.

    “Betul, memang kita guna nas agama untuk tindakan kita. Kerana nas agama itulah kita berkawan dengan DAP. Kerana nas agama itu jugalah kita berbalah dengan DAP. Dengan nas agama itu kita berbalah dengan MCA dan kemudian dengan nas agama kita berkawan MCA.

    “Dengan nas agama kita berbalah dengan Umno, dan dengan nas agama kita berkawan dengan Umno. Itulah dia masdar dan marja’ kepada PAS, tidak ada yang lain,” tegas beliau menyangkal semua dakwaan negatif tersebut.

    Penjelasan ini diperkukuhkan beliau bersandar tindakan Rasulullah yang mengadakan ta’akhi antara Aus dan Khazraj serta Muhajirin dan Ansar serta ketika sama membina hubungan dan kerjasama dengan bukan-Islam di Madinah.

    Namun katanya, ta’awun dibina itu bagaimanapun dikhianati pihak bukan-Islam hingga berlaku peperangan serta bergabung bersama dengan yang pihak memerangi Islam, tetapi kemudian berlaku pula perjanjian.

    Saat itu pula ceritanya, kaum Muslimin mendapat perintah mengerjakan ibadah umrah, tetapi berdepan dengan halangan Quraisy Makkah, namun Nabi tetap memilih perundingan dan gencatan senjata.

    “Adakah saat Nabi buat perjanjian (Hudaibiyah) itu Baginda tidak tahu mereka akan khianat? Nabi tak tahu masa depan, dalam ilmu Allah. Walaupun terbukti mereka (bukan-Islam) khianat kemudian. (Tapi) Nabi terima perdamaian mereka itu kerana apa?

    “(Kerana) Seringkali damai itu membuka ruang kepada dakwah. Betul, dalam tempoh dua tahun Perjanjian Hudaibiyah, Nabi berjaya meningkatkan pengaruh kekuatan di Makkah, dakwah di Madinah (manakala) di Makkah berkembang baik,” terang beliau.

    Begitu juga tambahnya, Nabi mendidik Sahabat R.A dengan ketinggian sabar untuk menempuh pengalaman baharu menerima bekas musuh yang telah memeluk Islam tanpa mengungkit perkara lampau kerana ia hanya menyakitkan.

    Menurutnya, tarbiyyah imaniyyah itu telah melahirkan para Sahabat yang hebat dalam menghadapi tekanan dalam semua keadaan termasuk peperangan dengan memiliki pengorbanan, disiplin, ketaatan, kesatuan dan kekuatan, walaupun asalnya lemah. – HARAKAHDAILY 15/11/2019

    - Advertisement -