Kesedaran kaum wanita penting elak ditindas

    - Advertisement -

    KUALA KANGSAR: Islam memberikan hak kepada setiap individu, namun banyak isu berlaku terhadap kaum wanita di zaman pemerintahan PH ini di mana ia berpunca dari serangan pemikiran merosak yang dibiarkan pakatan itu.

    - Advertisement -

    Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam berkata, bahkan pengabaian pembelaan terhadap maruah dan kehormatan wanita itu dapat dilihat sebagaimana kes dakwaan rogol oleh Adun DAP Perak yang juga Exco Kerajaan Negeri.

    Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas mengisi slot Bicara Murabbiah: ‘Berprinsip dan Berperingkat Dalam Amal Islami’ pada Ijtimak Tarbawi 7.0 di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini malam ini.

    Menurutnya, DAP seringkali mencanang bahawa partinya paling berkredibiliti, tetapi didiamkan kes ini di mana walaupun Adun tersebut belum disabitkan kesalahan, tetapi seharus merasa malu dari segi akauntabiliti menghadapinya.

    DAP ujar beliau, sepatutnya mengosongkan jawatan Exco disandang Adun itu atau membekukan jawatannya atau paling kurang harus dicutikan kerana sedang dikaitkan dengan kes yang amat sensitif dan serius.

    Lebih mendukakan luah beliau, apabila mangsa tidak dibenarkan bertemu dengan pihak luar, sedangkan dirinya dizalimi di mana sudah tentu memerlukan sokongan moral dari pelbagai pihak yang sedia membela.

    Jelas Dr Rosni, kes tersebut bukan sahaja melibatkan dua negara yang boleh mencalar hubungan dan keharmonian dengan Indonesia, malah melibatkan penilaian rakyat ibarat ‘bapa kencing berdiri, anak kencing berlari’.

    “Walaupun kebenaran itu berada di depan mata, tetapi hati mereka dipateri apabila memegang jawatan,” kesali beliau mengaitkan betapa perbuatan pemimpin boleh mempengaruhi rakyat mengikutinya.

    Kepekaan terhadap maruah kaum wanita juga kata doktor perubatan pergigian ini, perlu diangkat sebagai pembelaan dan perjuangan sejagat biarpun berlaku di bahagian pelusuk negara mana sekalipun.

    Beliau menggesa Kerajaan Malaysia selaku negara berdaulat mengambil sikap proaktif terhadap isu Muslimah Uyghur kerana terpaksa tidur dengan Pegawai Kerajaan China yang memantau mereka.

    Tegasnya, pembelaan dimaksudkan itu bukan disuarakan hanya untuk mewakili orang Islam, tetapi juga ke atas semua pihak minoriti yang sedang ditindas, lebih-lebih lagi kaum wanita.

    Pun begitu, Dr Rosni melihat kebangkitan kesedaran kaum wanita negara ini untuk tahu dan menuntut hak sepatutnya semakin terbuka kesan daripada Muafakat Nasional yang telah digagaskan ke dalam masyarakat.

    Jelas beliau, menerusi Muafakat Nasional, penglibatan kaum wanita lebih meluas, bahkan wanita muda sekarang dilihat lebih peka dengan politik dan tidak lagi canggung bercakap soal negara. – HARAKAHDAILY 15/11/2019

    - Advertisement -