Kejar politik hingga abai kesan pada Islam-Melayu

Rakyat Perak tahu siapa Nizar Jamaluddin

- Advertisement -

IPOH: Walaupun keputusan mahkamah memihak kepada Timbalan Pengerusi PAN Negeri Perak, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, namun rakyat negeri ini hakikatnya mengetahui susur galur politik pemimpin tersebut.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, keyakinan rakyat tidak semudahnya percaya dan terpengaruh kepada pemimpin tersebut yang telah menunjukkan sikap dan rekod politiknya selama ini.

“Nizar pernah diangkat sebagai AJK PAS Pusat dan saya sebagai Pesuruhjaya telah melantik beliau sebagai Timbalan Pesuruhjaya. PAS juga memberi kepercayaan sehingga menempatkan beliau bertanding di Dun yang berpotensi menang.

“Beliau memenangi Dun Pasir Panjang dalam PRU11 dan telah diangkat menjadi Menteri Besar Perak. Semasa pemerintahan beliau selama 11 bulan, timbul isu pemberian tanah 999 tahun, namun agenda tersebut diberhentikan apabila beliau ditumbangkan BN.

“Namun apa yang berlaku hari ini, kita lihat agenda pemberian tanah 999 tahun sedang diusahakan lantang oleh DAP. Pemimpin yang ada hala tuju seharusnya tidak tunduk kepada desakan yang boleh merosakan agama bangsa dan tanah air.

“DAP lantang memperjuangkan supaya status hak milik tanah selama 999 tahun kepada kampung baru,” ujar beliau menerangkan perkara yang tidak lagi menjadi rahsia dalam politik melibatkan DAP itu.

Imbas beliau, detik paling kritikal dalam hubungan PAS bersama DAP apabila Nizar sendiri telah menandatangani dokumen menyatakan Pakatan Rakyat Perak tidak akan melaksanakan perundangan syariah.

Walhal jelas Razman, PAS ketika itu sedang membawa agenda RUU355 ke Parlimen di mana tindakan Nizar itu sama sekali tidak mendapat sebarang kebenaran atau mewakili pihak Pesuruhjaya dan Ahli Perhubungan PAS Perak.

Berikutan kejadian itu katanya, Nizar telah ditolak dalam pemilihan PAS pada tahun 2015 kerana melanggar baiah dan mengkhianati ahli dan pimpinan PAS yang telah memberikan kepercayaan kepada beliau.

“Saya difahamkan, bahawa beliau (Nizar) telah tewas dalam pemilihan PAN Kawasan Gopeng. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ahli PAN juga bimbang kecenderungan mengejar cita-cita politik tanpa mempedulikan kesan kepada agama dan bangsa.

“Kini, saya sedang menunggu tuntutan jumlah sebenar yang perlu dibayar kepada Nizar. Insya-Allah dengan pertolongan sahabat-sahabat dan doa kepada Allah boleh meringankan beban saya untuk menyelesaikan tuntutan ini,” ujar Razman.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya memutuskan permohonan rayuan kes Razman terhadap Nizar ditolak kelmarin dan beliau dikehendaki membayar RM200,000 serta kos guaman RM10,000.

Sambungnya beliau meyakini bahawa ujian yang dihadapi oleh pejuang dahulu dalam menegakkan Islam dan melawan kuffar adalah jauh lebih sukar berbanding zaman hari ini. – HARAKAHDAILY 15/11/2019

- Advertisement -