Evolusi Mat Sabu: Ayam sabung kepada katak puru

- Advertisement -

MENDENGAR ucapan kejian Presiden PAN kepada Presiden PAS, tidaklah menghairankan kerana kita sudah tahu kenapa, bagaimana, bila Mat Sabu keluar PAS. Tidak juga menjadi kepelikan apabila PAS, yang tidak bertanding itu, diserang dengan cukup keras oleh mereka. Sehinggakan saya terfikir, adakah Mat Sabu memilih untuk menyerang PAS dengan dahsyat kerana tidak mahu DAP marah? Kalau begitu, tepatlah pilihan DAP dalam mencari khadam mereka. Persis askar Ghurka dari Nepal, sanggup mati untuk British.
 
Dahulunya Mat Sabu adalah ayam sabung PAS. Mungkin kepada adik-adik yang baru berjinak-jinak dengan politik, tidak sempat mendengar ceramah beliau sewaktu beliau menjadi primadona politik tanah air. Betapa hebatnya cara beliau berceramah, sehinggakan pernah dibuat ceramah ‘Dua Jam Bersama Mat Sabu’. Bukan senang dik, nak berdiri menceritakan hal politik Malaysia, sambil berdiri dua jam, engkau sorang saja bercakap. Terpukau hadirin mendengar hujahan-hujahan padat beliau.
 
Sewaktu itu, apabila ada ceramah politik yang jemputan utamanya Mat Sabu, maka akan penuhlah tempat-tempat itu dengan berduyun-duyun penyokong PAS dari pelbagai pelosok, datang duduk mendengar coletehnya. Tabung-tabung derma, akan dipenuhi bukan sahaja dengan wang ringgit, malahan cincin emas, Dolar Amerika dan berbagai lagi barangan berharga yang bertukar tangan, dibawa ke belakang pentas, untuk dikira. Sangat biasa, ceramah sudah selesai, tetapi duit masih belum habis dikira. Puluhan ribu ringgit itu biasa, ratusan ribu ringgit pun pernah berkali-kali bila Mat Sabu berceramah.
 
Pada zaman itu, ketika isu skandal kehilangan wang Bank Negara, puluhan billion yang dibuat oleh pasukan Kabinet Tun Mahathir, beliau bangun membilang satu persatu dengan disulami dalil dan bukti, dipersembahkan kepada rakyat bagaimana kejahatan pimpinan negara ketika itu. Skandal saham Maika Holding oleh MIC, skandal saham kepada menantu Rafidah Aziz, ‘bailout’ syarikat perkapalan anak Tun oleh Petronas, skandal Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik dengan gadis bawah umur, skandal PKFZ oleh Ling Liong Sik.
 
Bukan itu saja, bahkan skandal rasuah dalam bola sepak Liga M ketika itu juga disebut beliau kerana beliau peminat bola, dan pada tahun 1994 dan 1995 banyak kes berkaitan dengan rasuah, iaitu mengatur perlawanan. Masih juga saya ingat bagaimana beliau memperjuangkan nasib pemilik tanah di Kerpan, Kedah kerana dakwa beliau, tanah itu diambil secara tidak adil bagi memberi laluan kepada syarikat penternakan udang. Cara beliau mengajuk bagaimana seorang makcik, pemilik tanah di Kerpan itu menyelak kain kerana kecewa juga saya tidak lupa.
 
Merah padam muka beliau apabila bangun memperjuangkan nasib yang tertindas. Boleh berdiri bulu roma apabila beliau menyeru kepada jihad melawan kerajaan yang zalim. Kita terasa hingga ke hati kecil kita, apa yang beliau sebutkan. Sangat berkesan. Lawaknya menjadi ikutan, sinisnya menjadi bualan, amarahnya menjadi seruan, arahannya menjadi kepatuhan. Sehingga pernah dimaklumkan, pada suatu ketika, beliau demam kuat, tetapi untuk tidak menghampakan hadirin, berbiji-biji pil beliau telan untuk beliau tetap berceramah.
 
Tidak cukup di luar, di Parlimen juga beliau menyergah garang Kerajaan BN yang zalim itu, pimpinan Tun Mahathir. Bersilat lidah di dalam dewan dengan orang-orang seperti Zainuddin Maidin, Mahathir Khir, bukan sesuatu yang mudah. Tetapi beliau berjaya lakukan, demi memartabatkan Islam dan rakyat yang dizalimi. Patuh beliau kepada pimpinan PAS yang ketika itu diterajui Dato’ Ustaz Fadzil Nor dan dibantu oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Tun Mahathir Bapak Pelingkup Negara, Maha Firaun, adalah bahasa piawai yang digunakan dalam ceramahnya.
 
Pada awal seketika sebelum isu liwat Anwar diketahui orang, Mat Sabu telahpun memperdengarkan skandal itu dalam ceramah-ceramahnya. Antara kata Mat Sabu ialah, Anwar al-Juburi, merujuk kepada skandal yang melibatkan Anwar dengan lelaki. Kata beliau lagi yang saya ingat, kalau diberitahu Anwar mabuk, minum arak, Mat Sabu tak akan percaya kerana dia kenal Anwar. Tetapi apabila berkait dengan perempuan dan wang, Anwar tidak dipercayai beliau. Sehinggakan pimpinan PAS menasihatkan beliau menghentikan panggilan jijik itu, barulah beliau berhenti menyebutnya. Tegarnya beliau melawan Anwar.
 
Sungguh, beliau menjadi ayam sabung PAS. Tetapi itu dulu, kira-kira 35 tahun yang lampau sehingga 5 tahun lepas, ketika aksi beliau hanya bagi memperjuangkan Islam bersama PAS. Ketika hatinya belum kemaruk menggadaikan apa sahaja bagi mengejar Putrajaya. Namun, setelah tekad beliau menjadikan DAP sebagai ketua, beliau melepaskan baiah beliau bersama Tuan Guru Presiden. Beliau sudah berubah dengan segala muncung senjata beliau, dihalakan melebihi kepada PAS berbanding Umno.
 
Dibencinya PAS bagaikan PAS mengajak manusia kepada kekufuran. DAP kelihatan begitu suci, PKR yang berketuakan Anwar, tidak lagi digelar al-Juburi. Kaki perempuan atau sapu duit sekalipun Anwar sebagaimana kepercayaan beliau dahulu, kini sudah tidak mengapa. Skandal Forex awal 90-an dahulu bagaikan suatu kesilapan, bukan kepada kerajaan, tetapi kepada PAS. PAS silap mendedahkan kerana faktanya tidak betul. Tun, Anwar, Daim, Rafidah, Rahim Thamby Chik, menjadi suci. Sesuci embun pagi.
 
Tiada lagi dosa anak Tun yang memiliki kilang arak, diselamatkan syarikat kapalnya oleh Petronas. Samy Vellu juga tidak didosakan, Ling Liong Sik, sudah lama tidak dilagukan nama beliau sebagai petualang negara atas PKFZ dulu. Rafidah, tenteram bersama menantunya yang ada isu dengan saham dahulu. Daim bukan lagi individu yang patut dibuang, Rahim Thamby Chik bukanlah seorang pesalah yang merogol gadis bawah umur itu dahulu. SPR tiba-tiba tidak bersalah sekalipun tidak menegur kerajaan menggunakan jenteranya di PRK. Apa sahaja projek diumumkan kerajaan di PRK, kini Mat Sabu setuju.
 
Arak juga sehingga kini tiada kedengaran Abang Mat bantah jika diminum di tempat awam, di negeri milik orang Islam seperti di Selangor. Judi di negeri-negeri milik PH, tiada masalah. Kelantan dan Terengganu, tidak lagi dipuji kerana mengharamkan judi. Kalau dulu Umno patut diharamkan kerana masalah pengurusan parti, tetapi bagi parti Abang Mat, parti PAN, ianya tidak menjadi masalah, cakap saja berapa kali nak buat pemilihan, Abang Mat tak kisah. Boleh buat banyak pusingan, sehingga ahli pening berpusing.
 
Begitulah keadaan Abang Mat sekarang. Setelah menjadi Menteri, Abang Mat masih rindu untuk berceramah seperti dahulu, sewaktu zaman kegemilangan Abang Mat berpidato dulu kerana semua ucapan sebagai Menteri sekarang, ditulis orang. Roh pemidato tulen, tidak terzahir jika hanya membaca ucapan yang dikarang. Maka turunlah Abang Mat ke Tanjung Piai, mengambil mikrofon, bercakap dan terus bercakap. Sehinggalah, mungkin kecewa dengan kehadiran yang dikatakan sekitar 50 orang sahaja, Abang Mat tidak merasa layak sebagai pemidato hebat dengan jumlah yang hadir itu.
 
Dan Abang Mat pun untuk membuat lawak sebagaimana masa lampau, demi menarik pendengar. Lawak Abang Mat pilih kali ini berbeza kerana memilih untuk menghina Tok Guru Abang Mat dahulu yang Abang Mat selalu puji dalam ceramahnya. Kata Abang Mat, katak puru pun pening dengan fatwa Tok Guru. Sayang Abang Mat lupa yang fatwa Abang Mat pula langsung keluar dari gelanggang kebenaran kerana beliau mengatakan wajib memilih calon PH, walau siapa pun mereka. Abang Mat juga menjilat semula kini penghinaan kepada pasukan Umno dahulu yang sekarang berada dalam kem Abang Mat, adalah suatu yang sangat keji. Entah bila mereka dibersihkan. Fatwa mana itu Abang Mat pakai?
 
Mengikut Teori Evolusi yang saya tahu, ia memerlukan masa ribuan ataupun jutaan tahun bagi sesuatu itu berevolusi secara lengkap. Tetapi Abang Mat, telah berubah secara lengkap, dari ayam sabung kepada katak puru, hanya dalam masa lima tahun, setelah ditendang keluar oleh perwakilan PAS yang bijaksana pada tahun 2015. Abang Mat menjadi katak puru yang pendiam kerana tidak lagi berani menyanggah penjahat-penjahat bekas Umno itu sekarang, tidak seperti dahulu, ayam sabung yang gagah berkokok.
 
Maafkan saya katak puru, saya tidak bermaksud menghina katak-katak sekalian dengan menyamakannya dengan Abang Mat. Ianya hanya kebetulan. Abang Mat juga diam bila ditanya betulkah Abang Mat Syiah? Betulkah Abang Mat pergi ke Iran dan solat berlapikkan batu? Betulkah Abang Mat menghadiri majlis korban anjuran Syiah di Selatan Thai? Abang Mat kini menjadi pendiam dalam hal ini. Abang Mat juga dulu suka berceloteh tentang rasuah RM90 juta PAS, sekarang membisu. Tak disebut langsung dalam kempen PRK.
 
Mungkin Kementerian Pertahanan akan merasa bangga dengan Abang Mat kerana beliau boleh menjadi salah satu produk popular, penghibur kepada orang ramai keluaran mereka. Setelah Orkestra Tentera Darat (OTD) yang mendapat sambutan ramai tahun 80-an dahulu dengan dibarisi oleh Salih Yaacob, Syarifah Mona, Hayati Tasrip dan lain-lain lagi, tiada lagi penghibur popular dari pasukan tentera. Inilah masanya bagi tentera mengenengahkan semula bakat hebat Abang Mat Sabu ke seluruh dunia. Abang Mat boleh pergi jauh dalam bidang hiburan.
 
MOHD NASIR ABDULLAH
15 November 2019 – HARAKAHDAILY 15/11/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -