Dun Perak: Kebersamaan Adun PAS-Umno gerunkan DAP

- Advertisement -

IPOH: Adun-adun PAS dan Umno menyerlahkan semangat Muafakat Nasional apabila tampil mengenakan baju Melayu putih bersampin hitam dan baju kurung putih kain batik hitam pada Sidang Dun hari ini.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria yang juga Adun Gunung Semanggol berkata, keseragaman itu sebagai menterjemahkan kebersamaan dan kesepakatan antara kedua pihak.

Menurutnya, permuafakatan tersebut tidak sekadar pakaian, tetapi turut membawa roh untuk meletakkan agenda memartabatkan Islam dan Melayu sebagai matlamat perjuangan bersama kedua pihak.

Apatah lagi terang beliau, kepimpinan PH termasuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri diperintah koalisi itu sebenarnya didominasi oleh DAP yang mesti ‘digerunkan’ oleh kesatuan padu Muafakat Nasional.

“Kita tidak perlu menoleh kebelakang lagi, pelbagai isu dan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan PH Perak seringkali mencabar kedaulatan agama Islam dan bangsa Melayu.

“Pelbagai isu mutakhir di negeri Perak memerlukan kepada kerjasama yang lebih kukuh. Kini peperangan sesama sendiri dalam Kerajaan PH tidak mampu diselindungi. Maka Muafakat Nasional Perak telah bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan.

“Data statistik PRU14, gabungan undi antara PAS dan Umno akan meninggalkan PH bersendirian bersama DAP yang begitu mereka sayangi sekiranya pilihan raya berlaku dalam tempoh terdekat mahupun pada PRU15,” ujar beliau optimis. – HARAKAHDAILY 15/11/2019

- Advertisement -