PRK TG Piai : Pusat Kajian TSIS jangka BN menang

- Advertisement -

- Advertisement -

KUALA LUMPUR : Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dengan kerjasama sekumpulan penyelidik dari sebuah institusi pengajian awam tempatan telah melakukan satu kaji selidik bebas bertajuk ‘Kaji Selidik Mengenai Kecenderungan Pengundi Dalam PRK Tanjung Piai’.

Kajian itu merumuskan bahawa Barisan Nasional (BN) bakal menang dengan beberapa faktor yang dilihat menyebelahi Blok Pembangkang.

Kaji selidik tersebut membabitkan 300 orang responden yang merupakan pengundi berdaftar dalam PRK Tanjung Piai pada 7, 8 dan 9 November 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, 300 orang responden yang dipilih secara rawak ini adalah representatif kepada komposisi sebenar pengundi.

Perincian butiran mereka adalah 58.7 peratus Melayu, 40.0 peratus Cina dan 1.0 peratus India berbanding komposisi sebenar pengundi 57.6 peratus Melayu, 41.4 peratus Cina dan 0.9 peratus India.

Selain itu, 54.3 peratus lelaki dan 45.7 peratus perempuan berbanding komposisi sebenar pengundi 50.5 peratus lelaki dan 49.5 peratus perempuan.

Seterusnya 16.3 peratus berumur 21 hingga 30 tahun, 20.3 peratus 31 hingga 40 tahun, 18.0 peratus 41 hingga 50 tahun, 21.0 peratus 51 hingga 60 tahun.

24.3 peratus berumur 61 tahun ke atas berbanding komposisi sebenar pengundi 15.1 peratus berumur 21 hingga 30 tahun, 22.8 peratus 31 hingga 40 tahun, 20.7 peratus 41 hingga 50 tahun, 18.7 peratus 51 hingga 60 tahun dan 22.6 peratus berumur 61 tahun ke atas.

Menurutnya, dapatan-dapatan utama kaji selidik ini menunjukkan bahawa calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng, dijangka akan menang dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019.

“Ini berdasarkan kepada penolakan pengundi Tanjung Piai kepada Pakatan Harapan (PH) serta penerimaan mereka kepada Muafakat Nasional (MN) dan kepada calon BN itu sendiri.

“Petanda-petanda sangat jelas mengenai penolakan pengundi Tanjung Piai kepada PH boleh dilihat di dalam dapatan utama kaji selidik, iaitu 51.0 peratus responden menyatakan PH tidak perlu terus diberi peluang untuk memerintah berbanding 28.3 peratus responden yang menyatakan PH perlu terus diberi peluang untuk memerintah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, petanda-petanda sangat jelas mengenai penolakan pengundi Tanjung Piai kepada PH juga boleh dilihat di dalam dapatan-dapatan utama lain kaji selidik.

Antaranya ialah 68.3 peratus responden menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya melaksanakan manifestonya di Malaysia.

Hal ini berbanding 20.7 peratus responden yang menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya melaksanakan manifestonya di Malaysia.

Seterusnya, 60.7 peratus responden menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya melaksanakan manifestonya di Johor berbanding 20.0 peratus responden yang menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya melaksanakan manifestonya di Johor.

Selain itu, tambah beliau, 58.7 peratus responden menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya memperbaiki kedudukan ekonomi negara.

Ia juga berbanding 28.7 peratus responden yang menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya memperbaiki kedudukan ekonomi negara.

57.0 peratus responden menyatakan kehidupan mereka tidak bertambah baik selepas PH memerintah berbanding 21.0 peratus responden yang menyatakan kehidupan mereka bertambah baik selepas PH memerintah.

55.7 peratus responden menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya menjaga kepentingan kaum dan agama mereka berbanding 31.3 peratus responden yang menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya menjaga kepentingan kaum dan agama mereka.

Di samping itu, 50.0 peratus responden menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya menjaga keharmonian dan keselamatan negara berbanding 35.3 peratus responden yang menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya menjaga keharmonian dan keselamatan negara.

“Petanda sangat jelas mengenai penerimaan pengundi Tanjung Piai kepada MN boleh dilihat di dalam satu lagi dapatan utama kaji selidik.

“Kaji selidik tersebut ialah 52.7 peratus responden menyatakan MN menyenangkan mereka berbanding 4.0 peratus responden yang menyatakan MN menakutkan mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, petanda sangat jelas mengenai penerimaan pengundi Tanjung Piai kepada calon BN, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng, pula boleh dilihat di dalam dapatan-dapatan utama lain kaji selidik.

Antaranya ialah 61.7 peratus responden menyatakan calon yang paling mereka kenali, senangi dan hormati secara peribadi adalah calon BN, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng.

Berbanding 24.0 peratus responden yang menyatakan calon yang paling mereka kenali, senangi dan hormati secara peribadi adalah calon PH, Karmaine Sardini.

Seterusnya, 61.7 peratus responden menyatakan calon yang paling mampu memperjuangkan kepentingan mereka adalah calon BN, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng, berbanding 24.0 peratus responden yang menyatakan calon yang paling mampu memperjuangkan kepentingan mereka adalah calon PH, Karmaine Sardini.

56.7% responden menyatakan Ahli Parlimen Tanjung Piai dari BN 2008-2018, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng, adalah lebih baik prestasinya berbanding 19.7% responden yang menyatakan Ahli Parlimen Tanjung Piai dari PH 2018-2019, Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, adalah lebih baik prestasinya.

Selain itu, tambah beliau, kehadiran pemimpin tertinggi PH dan janji pembangunan di Tanjung Piai juga diyakini tidak akan mampu mengubah dengan banyaknya pola pengundian berdasarkan kepada dapatan-dapatan lain kaji selidik.

Antaranya ialah 50.3 peratus responden menyatakan kehadiran pemimpin tertinggi parti mereka tidak akan mempengaruhi undi mereka berbanding 26.0 peratus responden yang menyatakan kehadiran pemimpin tertinggi parti mereka akan mempengaruhi undi mereka.

Selain itu, 44.3 peratus responden menyatakan janji pembangunan di Tanjung Piai tidak akan mempengaruhi undi mereka berbanding 31.3 peratus responden yang menyatakan janji pembangunan di Tanjung Piai akan mempengaruhi undi mereka.

Dapatan-dapatan lain kaji selidik ini ialah 88.0 peratus responden menyatakan mereka akan keluar mengundi dalam PRK Tanjung Piai berbanding 7.7 peratus responden yang menyatakan mereka tidak akan keluar mengundi.

Seterusnya, 86.3 peratus responden menyatakan undi mereka adalah undi sokongan peribadi berbanding 3.0 peratus responden yang menyatakan undi mereka adalah undi mengikut arahan dan 3.3 peratus responden yang menyatakan undi mereka adalah undi protes.

Bagaimanapun, 59.0 peratus responden menyatakan undi mereka adalah tidak diasaskan kepada kaum dan agama calon berbanding 32.7 peratus responden yang menyatakan undi mereka adalah diasaskan kepada kaum dan agama calon.

Selain itu, 49.7 peratus responden menyatakan undi mereka adalah diasaskan kepada parti berbanding 41.7 peratus responden yang menyatakan undi mereka adalah diasaskan kepada calon.

47.3 peratus responden menyatakan undi mereka adalah diasaskan kepada isu tempatan berbanding 26.3 peratus responden yang menyatakan undi mereka adalah diasaskan kepada isu nasional.

Seterusnya 17.7 peratus responden yang menyatakan undi mereka adalah diasaskan kepada isu negeri.

Menurut beliau, dapatan-dapatan lain kaji selidik yang lebih terperinci ke atas tiga Daerah Mengundi (DM) Majoriti Cina, iaitu Bandar Pekan Nenas Tengah, Jalan Rimba Terjun dan Bandar Permas Kechil yang masing-masingnya dimenangi oleh calon PH, Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Calon PH tersebut menang dengan majoriti 1327 undi, 941 undi dan 31 undi dalam PRU 14, kini menunjukkan peralihan sokongan ketara pengundi Cina dari PH ke BN.

“Begitu juga dengan dapatan-dapatan lain kaji selidik yang lebih terperinci ke atas tiga Daerah Mengundi (DM) Majoriti Melayu, iaitu Pengkalan Raja Pontian, Serkat dan Telok Kerang yang masing-masingnya dimenangi oleh calon BN, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng.

“Beliau menang dengan majoriti 508 undi, 478 undi dan 341 undi dalam PRU 14, kini menunjukkan pengekalan sokongan pengundi Melayu BN, kemasukan sokongan pengundi Melayu PAS dan peralihan sokongan sebahagian pengundi Melayu PH ke BN,” jelas beliau.

Tambah beliau, kaji selidik ini tidak menemui unsur-unsur sabotaj dalam kalangan pengundi Melayu BN dan pengundi Melayu PAS ke atas calon BN, Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng.

Namun, jangkaan kemenangan calon BN ini dijangka akan memperkukuhkan kerjasama antara PAS dan BN sekali gus meluaskan penerimaan MN di kalangan bukan Melayu.

- Advertisement -