PH sudah tak relevan, pilih calon Muafakat Nasional

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru pengundi di Tanjung Piai untuk terus bangkit memberikan respon balas terhadap Kerajaan PH hari ini yang gagal dalam membawa perubahan baru yang lebih baik kepada agama, bangsa dan negara sejak memenangi PRU14 yang lalu.

Satu hasil kajian oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dengan kerjasama sekumpulan penyelidik dari sebuah Institusi Pengajian Awam Tempatan terhadap kecenderungan pengundi di PRK Tanjung Piai menunjukkan calon Barisan Nasional hasil Muafakat Nasional dijangka menang merupakan petanda bahawa Kerajaan PH pada hari ini sudah tidak relevan kerana banyak sangat kepincangan dalam urus tadbir dan pergolakan dalaman yang tidak dapat disembunyikan lagi.

Menerusi kajian yang dibentangkan tersebut, jelas menunjukkan bagaimana rakyat sudah tidak lagi menaruh keyakinan kepada Kerajaan PH kerana dilihat gagal dalam membawa sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat kepada rakyat ditambah lagi kegagalan melaksanakan pelbagai janji-janji manis menerusi manifesto yang dicanangkan sewaktu kempen pada PRU14 sebelum ini.

Imej Muafakat Nasional lebih mendominasi suasana kempen di PRK Tanjung Piai kali ini walaupun calon dari BN ialah MCA kerana serangan pihak lawan dalam mewujudkan ‘alergik’ ke atas calon BN atas faktor berbangsa Cina dan parti MCA dilihat gagal memandangkan responden dalam kajian yang dijalankan tersebut lebih cenderung memilih calon BN berbanding calon PH memandangkan rekod PH yang dilihat teruk.

DUPP mengharapkan rakyat Malaysia tidak lagi tertipu dengan permainan PH sebagaimana dalam PRU14 apabila PH mengaburi kecenderungan rakyat dengan janji manis menerusi manifesto tetapi gagal dan tidak berupaya melaksanakannya.

Sehubungan itu, DUPP juga menegaskan bahawa pemilihan calon dalam sesuatu PRK mahupun PRU asasnya mestilah dilihat kepada 2 perkara iaitu l:

i.      Keupayaan dan kemampuan calon yang dihantar dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T:

- Advertisement -


إِنَّ خَیۡرَ مَنِ ٱسۡتَـٔۡجَرۡتَ ٱلۡقَوِیُّ ٱلۡأَمِینُ

“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”

[Al-Qasas: 26]


ii.     Calon bukanlah seorang dari parti yang  anti Islam atau mempunyai kerjasama dengannya kerana ia akan menyebabkan kerosakan dan kemudaratan yang besar.

Firman Allah S.W.T:


یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ بِطَانَةࣰ مِّن دُونِكُمۡ لَا یَأۡلُونَكُمۡ خَبَالࣰا وَدُّوا۟ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَاۤءُ مِنۡ أَفۡوَ ٰ⁠هِهِمۡ وَمَا تُخۡفِی صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَیَّنَّا لَكُمُ ٱلۡـَٔایَـٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.”

(Ali Imran: 118)



Sekian.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 14/11/2019

- Advertisement -