PH gagal urus ekonomi negara

- Advertisement -

DALAM jawapan bertulis Menteri Kewangan kepada saya bertarikh 11 November 2019, Kerajaan yang diterajui PH memperakui bahawa Hutang Kerajaan Persekutuan sehingga akhir Jun 2019 ialah RM799.1 bilion berbanding hanya RM725.2 bilion pada akhir Jun 2018. Kerajaan telah membuat pinjaman kasar RM138.8 bilion dalam tempoh setahun.

Antara kritikan utama PH ketika menjadi pembangkang dahulu ialah hutang kerajaan yang semakin meningkat. Namun, jelas selepas setahun lebih mentadbir kerajaan, PH ternyata gagal menguruskan ekonomi dengan baik sehingga berlaku peningkatan hutang yang tinggi dalam tempoh setahun.

Ini belum diambil kira kejatuhan matawang purata 0.1 peratus yang diperakui oleh Timbalan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat tadi sedangkan PH dahulu menuduh Najib adalah punca kejatuhan matawang dulunya. Ia sudah tentu memberi kesan kepada kenaikan harga barangan di pasaran khususnya yang melibatkan barangan yang diimport dari luar negara.

Kejatuhan nilai eksport minyak kelapa sawit, harga getah yang masih lagi rendah, nisbah pengangguran 3.3 peratus dengan bilangan penganggur 519,800 orang kerana banyak syarikat dan kilang gulung tikar kerana ketidaktentuan ekonomi, semua ini adalah manifestasi kegagalan PH dalam menguruskan ekonomi negara.

Kerajaan memerlukan suasana politik yang stabil bagi menguruskan ekonomi negara. Namun ia sesuatu yang tidak berlaku di saat ini kerana sesama PH sendiri pun bertembung dan berlawan sebagaimama perang dingin dalam PKR dan pertembungan dalam isu peralihan kuasa sebagai Perdana Menteri.

Sekian.

Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 14/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -