Muslimat PAS galak kempen Bumi Hijau Sejahtera

- Advertisement -

TAMBUN: Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Muslimat PAS Negeri Perak telah menganjurkan program penanaman tumbuhan secara fertigasi dan kitar semula di Dewan Komuniti Villa MDP di sini, semalam.

- Advertisement -

Program yang melibatkan Persatuan Penduduk Villa MDP serta kakitangan Pejabat Pertanian Daerah Kinta ini mendapat sambutan kira-kira 30 peserta dari sekitar kawasan perumahan tersebut.

Pengerusi LATAS Muslimat Perak, Salmah Ab Latiff berkata, antara tumbuhan dan haiwan saling kait-mengait serta berfungsi untuk menghasilkan makanan yang terbaik buat manusia.

“Kita seharusnya mensyukuri nikmat semulajadi dengan memelihara serta memulihara tanaman yang Allah telah berikan. Kembalilah kepada fitrah alam dalam urusan pertanian yang akan memberikan hasil yang sihat buat manusia,” ujarnya.

Pengerusi LATAS Muslimat PAS Kawasan Tambun, Nor ‘Aidah Din pula menyatakan harapannya agar program ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat melalui perkongsian tips penjagaan tumbuhan.

Dalam pada itu, wakil penduduk, Zuraidah Abdul Hamid berkata, bengkel projek penanaman cili fertigasi yang diperolehi ini sangat memberi pendedahan ilmu baharu terutama mengenai teknik semai benih yang betul serta cara campuran tanah.

“Selama ini saya bercucuk tanam tanpa ilmu yang sebenarnya. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak yang berusaha menjayakan program ilmu yang sangat bermanfaat ini,” ujarnya mengulas positif program itu.

Para peserta yang hadir turut dibekalkan barangan pertanian secara percuma seperti baja, biji benih dan polybag setelah menjalani sesi demonstrasi teknik bercucuk tanam serta soal bual ringkas mengenai tanaman. – HARAKAHDAILY 14/11/2019

- Advertisement -