Konvoi motosikal pecah tradisi perarakan Maulid Nabi

- Advertisement -

KUALA KEDAH: PAS Cawangan Tambak Bunga telah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul yang dilangsungkan dengan pelbagai aktiviti di Madrasah Al-Hasaniah, Tambak Bunga, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Program ini bertujuan menyemarakkan penghayatan masyarakat dalam mengenang, meneladani dan mengukuhkan keimanan kepada Rasulullah S.A.W atas panduan hidup telah Baginda wariskan kepada umat ini.

Ia juga sebagai medan mengukuhkan muafakat penyatuan ummah untuk bersama menyebarkan hakikat Islam sebagai Rahmatan Lil ‘Alamin dalam kemajmukan warga negara ini secara am dan negeri Kedah khususnya.

Program telah dirasmikan oleh Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kedah, Tuan Guru Abdul Rahman Omar dan uniknya telah memecah tradisi majlis Maulidur Rasul apabila perarakan diadakan dengan motosikal.

Lebih 350 motosikal dengan peserta berbaju putih menyertai konvoi sejauh 10 kilometer ini sambil berselawat di mana turut diiringi oleh beberapa pacuan empat roda dan lori yang membawa anak-anak PASTI Ibrahim Tambak Bunga.

Pengisian utama majlis ini adalah Forum Perdana menampilkan dua pendakwah iaitu Prof Madya Dr Mohamad Khadafi Rafae dan Ustaz Mohamad Luthffi Ameer Abdullah serta moderator, Ustaz Abdul Rahman Saad.

Kemeriahan persaudaraan Islamiyah antara hadirin juga terserlah dari Kenduri Ummah yang diadakan dari seekor lembu sebagai menu utama majlis ini. – HARAKAHDAILY 14/11/2019

- Advertisement -