KL Kota Buku Dunia 2020 masih tiada promosi

Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Kota Buku Dunia 2020 dengan slogan ‘KL Baca – Caring Through Reading’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

- Advertisement -

Meskipun begitu, menurut Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, sehingga kini masih tiada sebarang program khusus bagi meningkatkan promosi di peringkat domestik dan antarabangsa.

Berikutan daripada itu, beliau meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan penyaluran peruntukan kepada Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020 tersebut.

“Jadi saya ingin bertanya di manakah peruntukan mengenai Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020? Apakah program yang dirancang bagi merancakkan lagi pembacaan dalam kalangan rakyat dan menjadi tarikan oleh pihak luar?” soalnya.

Beliau membangkitkan perkara itu dalam perbahasan pertimbangan semula ke atas Rang Undang-undang Perbekalan 2020 dan Usul Anggaran Perbelanjaan 2020 di peringkat Jawatankuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau meminta kerajaan menyatakan kadar pembacaan rakyat Malaysia ketika ini dan langkah untuk meningkatkan lagi kesedaran membaca dalam kalangan rakyat negara ini.

Antara penumpuan yang diberikan kepada program tersebut adalah membaca dalam semua bentuk, pembangunan infrastruktur industri buku, inklusif dan akses digital dan pemberdayaan kanak-kanak melalui membaca.

Sementara acara dan aktiviti yang dianjurkan ialah pembinaan kota buku, kempen membaca kepada pengguna tren, peningkatan perkhidmatan dan capaian digital oleh Perpustakaan Negara Malaysia untuk Orang Kelainan Upaya.

Ia juga turut melibatkan fokus berkaitan perkhidmatan digital baharu kepada 12 perpustakaan di kawasan perumahan kos rendah di mana sambutan itu akan bermula pada 23 April 2020, iaitu Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia. – HARAKAHDAILY 14/11/2019

- Advertisement -