Zakat dipungut dari Muslim, diagih kepada Muslim

- Advertisement -

TEMERLOH: Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang berpandangan bahawa saranan supaya wang zakat diagihkan kepada kaum bukan-Islam adalah tidak bersesuaian diamalkan di negara ini.

- Advertisement -

Ketua Ulamak PAS Pahang, Ustaz Zuridan Mohd Daud berkata, zakat ialah ibadah yang khusus bagi umat Islam di mana ianya merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Menurut beliau, zakat juga ada hubung kait dengan akidah dan iman, sekali gus bermakna tidak sewajarnya ibadat zakat diliberalkan menjadi setaraf dengan sumbangan-sumbangan lain.

“Walaupun ada pandangan sebahagian ulamak yang mengharuskan agihan zakat kepada non-Muslim, namun ia perlu dilihat dan diteliti dengan kaca mata ilmiah.

“Pertama, perbincangan ini hanyalah dalam konteks peluasan takrifan asnaf ‘Al muallafatu qulubuhum’. Bukanlah sehingga seolah-olah mewujudkan asnaf kesembilan.

“Kedua, kalaupun pengertian mualaf itu boleh diluaskan kepada yang belum memeluk Islam, maka ia hanyalah tertentu bagi golongan yang berat sangkaan (ghalabatuzzon) boleh dijinakkan kepada Islam.

“Ketiga, ia perlu melihat keutamaan kaum Muslimin. Sekiranya masih ada asnaf di kalangan umat Islam yang berhak menerima zakat, maka keutamaan hendaklah diberikan kepada asnaf di kalangan umat Islam,” jelasnya.

Ustaz Zuridan yang juga Adun Damak menerangkan, suasana di Malaysia menunjukkan masih ramai di kalangan orang Islam amat memerlukan kepada zakat.

Katanya, masih ramai Muslim yang miskin belum terbela termasuk anak-anak orang Islam yang melanjutkan pelajaran dan aktiviti fi sabilillah turut memerlukan dana mencukupi.

Bahkan menurut beliau, masalah asnaf golongan berhutang juga adalah isu kritikal di kalangan umat Islam yang perlu di tangani dengan zakat, maka tidak seharusnya zakat diagihkan kepada orang bukan Islam dalam situasi sekarang.

Ditanya sama ada pendirian sedemikian akan menyebabkan golongan bukan-Islam merasa tersisih dan dianaktirikan, beliau berkata, isu itu tidak timbul sama sekali kerana zakat adalah wang yang dikutip sesama umat Islam.

“Dikutip dari Muslim, diagih juga kepada Muslim. Orang bukan Islam tidak ada sebarang masalah,” ujar beliau memahamkan. – HARAKAHDAILY 13/11/2019

- Advertisement -