Pembangunan Kg Baru: Mohon penjelasan Khalid

- Advertisement -

SAYA terkejut membaca kenyataan terbaru Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, bahawa tujuan paling penting pembangunan Kampung Baru adalah untuk meramaikan jumlah orang Melayu supaya peratusan penduduk di Kuala Lumpur menjadi lebih seimbang.

- Advertisement -

Memetik kata-kata beliau, tujuan asal kewujudan Kampung Baru ialah untuk menentukan jumlah orang Melayu di Kuala Lumpur adalah munasabah, jadi kita kena bangunkan kawasan itu supaya jumlah penduduk Melayu kita dapat tingkatkan sehingga 180,000 misalnya.

Kenyataan ini mengejutkan kerana sasaran yang ditetapkan adalah terlalu tinggi berbanding bancian Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) pada 2010 yang menunjukkan jumlah orang Melayu yang menetap di Kampung Baru hanyalah seramai 18,372 orang.

Saya dengan ini meminta Khalid Samad menjelaskan apakah mekanisme yang akan kementerian beliau gunakan bagi memastikan sasaran beliau untuk meningkatkan jumlah penduduk Melayu di Kampung Baru menjadi 180,000 orang akan benar-benar dicapai.

Saya juga memohon kepada Khalid Samad supaya memberi jaminan bertulis bahawa pembangunan Kampung Baru bahawa pembangunan Kampung Baru tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu, khususnya yang membabitkan kepentingan sosial dan ekonomi mereka.

Ini sangat penting kerana tidak ada satu pun peruntukan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (Akta 733) yang memberi jaminan mutlak bahawa pembangunan Kampung Baru tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu.

Apa yang ada dalam Akta 733 hanyalah penubuhan Majlis Penasihat untuk menasihati Perbadanan mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru dan apa-apa perkara lain yang dirujuk kepadanya oleh Perbadanan.

Begitupun, Seksyen 19 (3) Akta 733 tidak mewajibkan nasihat Majlis Penasihat diterima pakai oleh Perbadanan, di mana apa yang diperuntukkan hanyalah nasihat ini “hendaklah diteliti, dikaji dan, jika bersesuaian, hendaklah diterima pakai oleh Perbadanan”.

Bagi saya, kenyataan Khalid Samad ini adalah tindakan terdesak beliau untuk memujuk orang Melayu di Kampung Baru supaya menjual tanah mereka kepada kerajaan setelah pelbagai usaha beliau memujuk mereka berbuat demikian menemui kegagalan.

Paling mengejutkan apabila Khalid Samad kini menggadai prinsip perjuangannya dengan menggunakan retorik Melayu sedangkan beliau sebelum ini dikenali paling lantang mempertikaikan retorik Melayu, termasuk menyerang Kongres Maruah Melayu.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Rabu, 13 November 2019 | 16 Rabi’ul Awal 1441 – HARAKAHDAILY 13/11/2019

- Advertisement -