Muslimat Parit ziarah Rumah Seri Kenangan

- Advertisement -

PARIT: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Kawasan Parit meneruskan aktiviti menyantuni warga dengan mengunjungi penghuni warga emas di Rumah Seri Kenangan, Seri Iskandar, di sini semalam.

- Advertisement -

Menurut Penguasa Rumah Seri Kenangan, Anuar Che Mahmud, penghuni di situ terdiri daripada pelbagai bangsa seramai 36 penghuni dan diuruskan oleh 18 kakitangan yang bekerja secara berjadual.

Ketua Muslimat PAS Parit, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, kunjungan ini bertujuan untuk mengenali dengan lebih dekat penghuni-penghuni dan kakitangan rumah tersebut yang terletak di dalam Parlimen Parit.

“Kita meneruskan usaha menyantuni masyarakat tidak bermusim ini sebagai tanda PAS konsisten mendekati masyarakat meskipun tiada peruntukan yang diperoleh bagi menjayakan program ini,” ujarnya ringkas.

Dr Najiha yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Perak itu turut mengulas tafsir surah al-Baqarah ayat 177 yang berkaitan dengan Ayatul Birr berkenaan kebajikan iaitu erti kebajikan secara keseluruhan.

“Kebajikan sebenarnya terbahagi kepada dua iaitu ibadah dan etika (akhlak). Kita seharusnya menjaga kebajikan dari segi ibadah, seiring dengan menunaikan tanggung jawab etika dengan memelihara hubungan sesama manusia, bersedekah kepada anak yatim dan orang miskin.

“PAS hari ini terbukti semakin mendapat tempat di hati masyarakat yang sentiasa menyambut baik program-program yang kita lakukan. Hal ini kerana PAS sangat sinonim dengan gerak kerja kemasyarakatan biarpun bukan musim pilihan raya,” ujarnya.

Dalam pada itu Dewan Muslimat PAS Parit juga mengambil kesempatan menyediakan makanan minum petang termasuk agihan buah tangan kepada semua penghuni di situ. – HARAKAHDAILY 13/11/2019

- Advertisement -