Haramkan rokok elektronik, peralatan vape

- Advertisement -

TERDAPAT tiga kes yang disyaki penyakit berkaitan vape yang dilaporkan di Malaysia baru-baru ini dan ia sepatutnya menjadi satu amaran kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengharamkan semua rokok elektronik dan peralatan vape. Kerajaan tidak sepatutnya melibatkan industri tembakau dalam sebarang perbincangan dasar kawalan tembakau kerana industri tembakau diketahui mencampuri pengubalan dasar kawalan tembakau.

- Advertisement -

Sementara Malaysia mengekalkan “tiada penyertaan langsung industri tembakau dalam pembangunan dasar”, terdapat tanda bahawa kerajaan menerima dasar pro industri tembakau.

Contohnya, bertentangan dengan saranan KKM untuk mengharamkan semua Electronic Nicotine Delivery Systems (ENDS)/Electronic Non-Nicotine Delivery Systems (ENNDS), dan rokok elektronik, ia dibenarkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selepas dilobi oleh kumpulan/persatuan vape.

Berikut adalah laporan media mengenai kes yang didakwa penyakit berkaitan vape:

  • Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang menghidap asma dimasukkan ke Hospital Nukleus Labuan di Labuan baru-baru ini. Beliau “mengalami kerosakan paru-paru dalaman yang teruk disyaki disebabkan oleh menghisap vape”. Beliau menghisap vape dua minggu sebelum mengalami apa yang dikatakan oleh diagnosis doktor sebagai “kecederaan paru-paru dalaman, rhabdomyolysis dan kegagalan ginjal”. Ia didakwa sebagai kes pertama di negara ini.
  • Dalam kes yang lebih awal, Wan Muhamad Amirul mendakwa menghisap vape “mempercepatkan pertumbuhan tumor di dalam hidungnya” dan menyebabkan “radang tonsil”. Wan Muhamad Amirul berakhir dengan terpaksa membelanjakan RM20,000 untuk bil perubatan bagi membuang tumor dan merawat tonsil itu.
  • Mangsa lain yang disyaki menghisap vape ialah Mohd Firdaus, dari Subang, Selangor yang dimasukkan ke wad di hospital kerana demam denggi. Doktor mendapati “ada sesuatu” dalam hasil ujian darahnya. Selepas sembuh daripada demam denggi, doktor menemui cecair di dalam paru-parunya. Sesudah itu, beliau perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan cecair itu. Ia mengambil masa hampir seminggu untuk rawatan itu dan masih perlu membuat rawatan susulan.

Kami menggesa kerajaan supaya mengharamkan semua rokok elektronik dan peralatan vape tanpa pengecualian memandangkan lebih daripada 40 negara telah melakukannya. China merupakan antara negara terbaharu yang turut serta dalam mengharamkannya atau mengawal rokok elektronik. Ia mengumumkan pengharaman penjualan rokok elektronik atas talian baru-baru ini. Terdapat lebih daripada 7.4 juta pengguna rokok elektronik di China yang juga pengeluar terbesar produk rokok elektronik.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan bahawa kes di Labuan akan disiasat dengan sepenuhnya untuk menentukan jika menghisap menjadi penyebab kepada keadaannya. Bagaimanapun juga penyebab penyakit paru-paru, kami menggesa Kementerian Kesihatan mengharamkan semua rokok elektronik dan peralatan vape memandangkan belia yang berhenti menghisap vape dan bimbangkan kesan kesihatan akibat menghisap vape mungkin akan bertukar kepada merokok yang juga berbahaya kepada kesihatan.

Pada hakikatnya, tiada satu pun – menghisap vape atau merokok – bermanfaat kepada kesihatan dan sebaliknya ia hanya membazirkan wang yang boleh digunakan untuk keperluan lain yang lebih bermanfaat. Ia tidak membuat perbezaan jika menghisap vape menyebabkan penyakit seperti yang dinyatakan dalam kes di atas kerana menghisap vape atau merokok ialah seperti bermain Russian Roulette. Kita tidak memerlukan bentuk baharu ketagihan atau penderitaan yang tidak sewajarnya.

MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 13/11/2019

- Advertisement -