Wujudkan dasar larangan minum arak di tempat awam

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menggesa agar satu dasar larangan minum arak secara terbuka di tempat awam untuk diwujudkan bagi menjamin keharmonian masyarakat berbilang kaum dalam memelihara kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan dan juga sensitiviti majoriti rakyat di Negara Malaysia dan Negeri Selangor khususnya yang beragama Islam.

Ia susulan jawapan dari Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han yang menyatakan Kerajaan Selangor menetapkan tiada larangan untuk mana-mana individu meminum arak di kawasan awam kerana perkara itu selaras dengan ketetapan Undang-undang Kecil Taman (2005).

Peruntukan yang sedia ada terlalu terbuka dan tidak bersifat mencegah kerana tindakan penguatkuasaan hanya dikenakan sekiranya wujud perkara yang tidak diingini dan kekecohan. Sedangkan kemudaratan arak ini telah jelas dari sudut pandangan agama serta disahkan kesan negatifnya oleh kajian makmal di samping telah berlakunya kes-kes yang mengundang kesan buruk seperti kemalangan, pergaduhan dan sebagainya kesan dari mabuk arak.

Dasar larangan minum arak secara terbuka di tempat awam akan membolehkan kawalan secara menyeluruh ke atas setiap orang Islam dan bukan Islam secara umumnya. Bagi orang Islam, mereka telah terikat dengan ketetapan dari Kanun Jenayah Syariah yang mensabitkan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang. Namun bagi orang bukan Islam, perlunya dasar ini diwujudkan agar suasana lebih terkawal.

DPPNS juga menggesa agar publisiti dan kempen mengenai keburukan arak perlu ditingkatkan sama seperti gejala dadah dan rokok. Tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara komprehensif baik pada peringkat Persekutuan, Negeri mahupun PBT sendiri. Larangan ketat harus dikenakan terhadap promosi arak sama ada pada papan iklan mahupun aktiviti penajaan sukan.

“Demi Islam”
“Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 12/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -