‘Urusan rumah tangga, jangan sampai pinggan terbang’

- Advertisement -

KUALA KANGSAR: Pergolakan dalaman politik di negeri ini adalah urusan rumah tangga PH, namun pakatan itu sepatutnya memastikan agar piring dan pinggan tidak terbang hingga diketahui orang luar.

- Advertisement -

Bidasan sinikal itu disuarakan Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kangsar, Dato’ Drs Khalil Idham Lim memberi reaksi terhadap perkembangan terkini politik di Perak yang semakin gawat mutakhir ini.

Ulasan tersebut berikutan rakaman video yang tular di mana Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menempelak DAP semasa turun berkempen di PRK P.165 Tanjung Piai baru-baru ini.

Ekoran itu, pemimpin utama PKR dan DAP Perak membidas pula Ahmad Faizal yang menyaksikan percakaran sesama anggota PH di negeri ini tidak dapat dibendung lagi setelah berulang kali hal sama berlaku.

Malah sebelum ini, pertembungan tersebut bukan lagi menjadi rahsia apabila hangat diperkatakan mengenai usaha menjatuhkan Faizal dari kerusi Menteri Besar termasuk ura-ura Pilihan Raya Negeri.

Khalil Idham mengulas situasi terkini itu dalam sidang media selepas Mesyuarat Penubuhan Jawatankuasa Bersama Muafakat Nasional Kuala Kangsar di Pejabat Umno, di sini semalam.

Mesyuarat tersebut telah memutuskan banyak perkara melibatkan kebersamaan PAS dan Umno Kuala Kangsar dalam melaksanakan program untuk mendekati rakyat ke arah mengukuhkan Muafakat Nasional.

Hadir sama Naib Yang DiPertua dan Ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar, Mustaffa Azmi dan Ustaz Omar Adam serta Adun Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan Adun Manong, Mohamad Zuraimi Ramli serta Naib Ketua Umno Kuala Kangsar, Azizul Rahim. – HARAKAHDAILY 12/11/2019

- Advertisement -