GOMBAK: SRITI Al-Mustaqim dengan kerjasama PS Ball Mastery serta Lajnah Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Kawasan Gombak telah menganjurkan klinik kemahiran asas bola sepak ‘Ball Mastery’ kelmarin dahulu.
Inisiatif julung kali yang bertujuan memenuhi tanggung jawab sosial kepada masyarakat setempat ini telah disertai hampir 50 pemain muda berumur 7 hingga 12 tahun dalam sesi di Taman Selasih Fasa 2 Batu Caves, di sini.
Klinik ini dikendalikan oleh Jurulatih Bola Sepak SRITI Al-Mustaqim, Mohd Azlan Omar dengan dibantu dua jurulatih daripada PS Ball Mastery termasuk penerangan khas ‘ball mastery’ oleh Syed Adnan Syed Othman dari Pulau Pinang.
“Kami mahu memberikan pendedahan berterusan kepada semua peserta klinik. Selain daripada itu, kami juga mahu mereka mempelajari teknik bermain bola sepak dengan betul,” ujar Mohd Azlan.
Klinik tersebut telah dirasmikan Timbalan Pengarah DACS Malaysia, Muhammad Fadzli Abu Bakar dan turut dihadiri Pengerusi DACS Gombak, Mohd ‘Afif Abdul Aziz dan Guru Besar SRITI Al-Mustaqim, Mohamad Kamarul Helmi. – HARAKAHDAILY 12/11/2019
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!